Beri keutamaan liputan internet kepada Dun Murum

KUCHING: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Murum Kennedy Chuk Pai Ugon memohon Kerajaan Sarawak memberi perhatian dan keutamaan kepada kawasan Murum dalam meningkatkan kemudahan perhubungan digital dan jalur lebar di kawasan pedalaman.

Menurutnya, ini bagi membolehkan rakyat di sekitar kawasan Tubau, Jelalong, Sungai Asap, Sungai Belaga, Long Urun, Metalun, Tegulang dan Sungai Linau menikmati kemudahan internet.

“Saya menyambut baik inisiatif kerajaan menyediakan internet percuma menerusi SarawakNet dengan teknologi Terminal Satelit Apertur Sangat Kecil (VSAT) untuk memastikan penduduk di pedalaman mendapat kemudahan perhubungan digital.

“Namun saya berharap kawasan Murum diberikan keutamaan agar penduduk di sini tidak lagi terpisah dari dunia luar dan tidak ketinggalan dalam agenda transformasi digital ekonomi ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Belanjawan Sarawak 2021 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.

Tambahnya, ramai pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT) di Murum terutamanya Sungai Asap tidak dapat mengikuti pembelajaran secara atas talian kerana capaian liputan internet sangat rendah.

“Saya memohon supaya pihak Lembaga Multimedia Sarawak (SMA) dapat menaik taraf liputan internet di BRS Sungai Asap agar para pelajar kita tidak tercicir dalam pelajar mereka,” ujarnya.

Suara Sarawak