Beri peluang graduan dilatih semula sebagai guru terlatih

KUCHING: Kesatuan Guru Sarawak (STU) berharap Kerajaan Sarawak memohon kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) agar memberi keutamaan kepada calon tempatan untuk dilatih sebagai guru di Sarawak.

Presiden STU Adam Prakash Abdullah berkata langkah itu bagi menangani masalah kekurangan guru di Sarawak, yang kini mencecah 3,000 orang.

“STU berharap kekosongan ini boleh di isi secara interim buat sementara waktu dengan guru terlatih dari Semenanjung Malaysia supaya pelajar kita diajar oleh guru yang terlatih,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Berkaitan polisi 90:10 yang ditekankan oleh Kerajaan Sarawak, Adam berkata STU menghargai perjuangan berkenaan namun berharap ia tidak memberi impak yang negatif seperti menyebabkan kekurangan 3,000 guru di Sarawak pada masa ini.

“Semakan semula berkaitan dasar berkenaan perlu di buat supaya guru-guru di Sarawak tidak menanggung beban tugas yang akhirnya menjejaskan prestasi mereka,” katanya.

Dalam pada itu, Adam berkata STU berharap agar Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) meningkatkan bilangan pengambilan guru pelatih bagi empat Institut Pendidikan Guru (IPG) di Sarawak.

Katanya ia memandangkan pada masa sekarang, IPG di Sarawak hanya dapat mengeluarkan lebih kurang 300 orang guru terlatih setiap tahun dan ini tidak mencukupi untuk mengisi kekosongan di sekolah rendah di Sarawak.

Pada masa sama, beliau berkata STU berharap agar pihak yang bertanggungjawab mendapatkan senarai guru lepasan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan menempatkan ke sekolah sekiranya mereka telah memenuhi syarat-syarat perkhidmatan.

Tegasnya, isu kekurangan guru di Sarawak harus menjadi keutamaan KPM dan kerajaan negeri pada masa sekarang agar proses Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) serta Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) dapat dijalankan dengan cemerlang.

Tambahnya STU juga berharap agar KPM dapat menyediakan skim latihan semula untuk para graduan di Sarawak yang bersedia berkhidmat sebagai guru.

Katanya skim latihan semula graduan itu akan dapat membantu meningkatkan pengeluaran guru terlatih di Sarawak dan seterusnya mengurangkan bilangan graduan yang menganggur.

Suara Sarawak