Beri peluang kami bekerja

KUCHING: “Sebagai pencari kerja kadang-kadang saya risau dan malu jika tidak mempunyai pekerjaan setelah tidak dapat memenuhi satu syarat utama yang ditetapkan majikan iaitu mahu pekerja yang berpengalaman.

“Perkara ini antara punca utama siswazah seperti saya sukar mendapat kerja kerana tidak diberi peluang untuk mengalami bagaimana rasa bekerja dan mempelajari kemahiran baharu.”

Itu antara luahan lepasan Unimas , Alverdtekoster Anyap, 23, yang kini tetap komited mencari p e l u a n g pekerjaan m e s k i p u n p e l b a g a i c a b a r a n perlu dilalui.Walaupun menganggur dia tetap tidak membuang masa, sebaliknya akan ke kebun milik keluarganya untuk melakukan kerja-kerja kebun.

“Sukar mencari kerja dan memberi tekanan. Ini kerana kerja yang kita cari, kadang-kadang tiada kaitan dengan apa-apa yang kita belajar di IPT.

“Tambahan sebelum belajar di universiti, sudah beberapa kali saya menghadiri temu duga untuk kerja tetapi gagal.

“Salah satu cabaran yang dihadapi ialah kerana kelemahan diri antaranya kurang keyakinan diri dan ragu-ragu,” kongsinya kepada Suara Sarawak.

Menyedari kelemahan itu, dia kini tidak hanya di rumah dan menganggur sebaliknya menyertai kursus penyelenggaraan dan konfigurasi komputer, iaitu kursus jangka pendek di Institut Latihan Perindutrian (ILP) Kota samarahan di bawah insentif Penjana.

“Saya dapat belajar semula dan meningkatkan kemahiran serta keyakinan saya.

Ini inisiatif saya sendiri untuk turut serta kerana mula mempelajari rekaan grafik,” ujarnya.

Dia berharap majikan memberi peluang kepada lepasan universiti untuk bekerja dan diberikan ruang untuk memastikan mereka mahir dalam kemahiran baharu.

“Malah dengan keadaan pandemik Covid-19, saya berharap peluang pekerjaan untuk siswazah dapat ditingkatkan kerana kami juga sebahagian daripada golongan yang dapat membantu ekonomi negara dan masa depan negara,” tegasnya lagi.

Sementara itu, bagi Noor Roshahhanna Nazleen Noorhazlan, 23, disebabkan pandemik Covid-19, kebanyakan majikan ingin mengurangkan pekerja atau mengecilkan skala pekerja dan hanya mahu mengambil pekerja berpengalaman.

“Jadi agak sukar untuk siswazah seperti kami mencari kerja, selain sukar untuk kami mencari kerja sama dengan bidang yang dipelajari di universiti.

Saya ambil inisiatif lain dengan menghantar resume untuk memohon kerja di syarikat terdekat. “Seterusnya berhubung terus dengan majikan yang memerlukan pekerja, bertanyakan mengenai kekosongan kerja tersebut,” jelasnya Menyedari bahawa yang bulat tidak datang bergolek, yang pipih tidak datang melayang, dalam tempoh menunggu jawapan memohon pekerjaan, Roshahhanna mengisi masa dengan menjual tudung secara kecil-kecilan dari rumah.

“Sebagai bekas pelajar Kajian Komunikasi Unimas, saya menjual tudung ini untuk menambah kemahiran pemasaran, sekali gus membantu kemahiran komunikasi saya meskipun kini belum memiliki kerja tetap.

“Apa-apa pun saya harap pihak majikan memberi peluang kepada kami untuk menimba ilmu, pengalaman untuk mengasahkan bakat kami.

“Kepada rakan lepasan universiri jangan mudah mengalah mencari kerja dalam tempoh sukar kini,” nasihatnya.

Berdasarkan statistik Jabatan Statistik Malaysia, jumlah pengangguran sehingga Oktober lalu menunjukkan peningkatan daripada 0.1 peratus kepada 4.7 peratus berbanding September lalu.

KURSUS… Alverdtekoster Anyap menyertai kursus jangka pendek di ILP Kota Samarahan.