KUCHING: Semua pihak digesa menghentikan isu berhubung pelantikan Nurul Izzah Anwar sebagai Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Gesaan tersebut disuarakan oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing sambil berkata, Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) terbabit perlu diberi peluang untuk membuktikan keupayaannya.
“Saya percaya sudah tiba masanya untuk meredakan isu ini dan membenarkan Nurul menumpukan perhatian kepada perkara-perkara penting yang memerlukan perhatian mereka.

“Pada masa ini kita perlu menyokong dan memberi peluang kepada Nurul Izzah untuk berkhidmat kepada negara berdasarkan kapasitinya,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Mengulas lanjut kata Ahli Parlimen Bintulu berkenaan, penasihat kepada pemimpin kerajaan dilantik bagi memberi pandangan alternatif atau mengisi kekosongan dalam memberi tumpuan kepada masyarakat yang kurang mendapat perhatian.
Jelas beliau lagi, pelantikkan tersebut tidak semestinya bertindih dengan mana-mana fungsi dalam kerajaan sehingga ke tahap berlebihan.
“Tambahan lagi, Perdana Menteri telah menyatakan bahawa Nurul Izzah telah dilantik tanpa bayaran atau elaun sama ada di Jabatan Perdana Menteri atau Kementerian Kewangan.
“Kita sudah berpolitik sepanjang penggal yang lalu, kini masa untuk kita fokus pada yang lebih penting, iaitu membawa negara kembali ke landasan ekonomi yang kukuh.”