Beri peluang pemain muda

LANGKAH drastik dilakukan skuad Kuching FA dalam memperhebatkan penampilan mereka untuk musim 2021.

Sehubungan itu, Kuching FA menurunkan beberapa pemain muda dari skuad pelapis (Piala Presiden 2020) yang mampu bersaing dalam aksi kompetitif.

Penolong Pengurus, Iswandi Ali Hassan memberitahu, pihaknya komited ke arah itu selain melihat potensi pemain muda yang boleh mengharungi pentas saingan lebih mencabar.

Tegas Iswandi, kredit yang dimiliki harus dimanfaat sepenuhnya bagi memberi peluang untuk mengetengahkan bakat pemain muda. “Ada beberapa pemain muda yang akan diserap dalam skuad senior musim depan.

PEMAIN MUDA… Antara barisan pemain muda dari skuad Piala Presiden Kuching FA. – Foto FAIZAL BUJANG

“Kita melihat potensi mereka untuk beraksi di pentas lebih kompetitif,” ujar Iswandi ketika mengulas mengenai perkara itu semalam.

Beliau yakin pemain muda yang dinaik pangkat kelak pasti akan memanfaatkan peluang tersebut untuk mereka terus maju dalam kerjaya bola sepak.

Selepas saingan Piala Presiden 2020 ditamat lebih awal, pihak pengurusan Kuching FA menyerap enam pemain muda ke dalam skuad senior bagi mengharungi baki perlawanan kempen Liga Premier 2020 dan Piala Malaysia 2020.

Pemain terbabit ialah, Amirul Iqmal Bolhi, Amir Amri Salleh, Haziq Rahimi Iskandar, Wan Badzreen Wan Yusuf, Mohd. Alauddin Farid Atan dan Diego Baggio Anak Test.

Iswandi berkata, senarai kelompok pemain muda ini perlu diperhebatkan lagi kerana mereka boleh diibarat sebagai bakat baharu dalam pembikinan.

“Rata-rata pemain ini antara tonggak utama skuad Sukma 2018 yang berlangsung di Perak. “Pengalaman mereka amat berguna sekali,” jelas Iswandi.