BINTULU: Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan TugasTugas Khas), Datuk Wilson Ugak Kumbong menyerahkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sama ada untuk mengiktiraf perayaan Hari Gawai sebagai cuti umum di Malaysia.
Menurutnya, ia bagi memberi peluang kepada masyarakat di Semenanjung Malaysia untuk merasai kemeriahan sambutan perayaan itu seiring gagasan Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar.
Beliau berharap cadangan tersebut dapat dibawa kepada kabinet untuk dipertimbangkan bagi membolehkan seluruh rakyat Malaysia dapat berkongsi kemeriahan sambutan Hari Gawai yang diraikan pada setiap 1 Jun.
“Kalau Hari Raya dapat cuti, Tahun Baharu Cina dapat cuti dan perayaan lain juga cuti, apa salahnya Gawai kita sama cuti supaya dalam Kerajaan Madani, seluruh rakyat dapat merasai perayaan ini.
“Ada suku kaum Dayak yang tinggal dan bekerja di Semenanjung Malaysia tidak dapat balik cuti, sekurang-kurangnya mereka dapat meraikan perayaan ini bersama rakan-rakannya di situ,” katanya ketika ditemui pada Rumah Terbuka Gawai Dayak yang dihoskan beliau dan keluarganya di kediaman mereka yang terletak di Pearl Garden, Jalan Sebiew di sini.
Sehubungan itu, Ugak yang juga Ahli Parlimen Hulu Rajang berharap cadangan tersebut dipertimbangkan pada masa akan datang.
“Ini bermakna kita memberi penghormatan kepada suku kaum Dayak yang ada di negara kita,” katanya.
Kehadiran Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg memeriahkan Majlis Rumah Terbuka Gawai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) itu.