Beri ruang generasi muda terlibat politik

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lepas, berlakunya satu titik perubahan dalam sejarah negara, iaitu pertukaran parti pemerintah.

Sebelum ini, komponen parti BN yang dipimpin oleh Umno lama memerintah negara semen-jak kemerdekaan tanah air pada 1957.

Namun begitu, komponen parti PH yang terdiri daripada PPBM, PKR, DAP dan Amanah berjaya mengalahkan BN dengan meraih majoriti mudah kerusi pada peringkat Parlimen.

Apakah menjadi punca kepada perubahan arus politik yang berlaku di negara kita?

Mengapakah rakyat memilih untuk mengubah kerajaan yang telah lama memerintah negara ini?

Generasi Muda

Sebenarnya rakyat terutama generasi muda menginginkan satu reformasi dalam kerajaan yang dianggap sudah lama.

Generasi muda mahu melihat diri mereka mampu menentukan hala tuju sebuah negara pada masa depan.

Kebanyakan generasi muda mempunyai idea yang bernas dan percaya idea yang dibawa oleh mereka mampu untuk mengubah masa depan negara ke arah yang lebih baik.

Selain itu, majoriti generasi muda mempunyai kelayakan dalam pendidikan pada peringkat yang lebih tinggi seperti Diploma, Ijazah, Sarjana dan PhD.

Oleh itu, mereka yakin bahawa idea mereka mampu menjadikan Malaysia negara maju dengan ilmu pengetahuan yang diperoleh semasa mereka menuntut di universiti.

Antara punca dan sebab utama berlakunya perubahan arus politik negara ialah generasi muda melihat ada golongan elit dalam politik sudah terlalu lama berada dalam arena politik.

Di samping itu, generasi muda mungkin meluat dengan golongan ahli politik tertentu yang hanya mempunyai idea lama dan tidak melakukan apa-apa perubahan kepada negara.

Memberi Ruang

Generasi muda seperti mahu melihat ahli politik tertentu tidak berada dalam politik terlalu lama dan mereka seharusnya memberi ruang kepada generasi baharu memimpin negara ini.

Sementara para pemimpin seharusnya bersikap tidak memandang remeh akan kuasa generasi muda kerana mereka semakin berani bersuara memperjuangkan hak dan pendirian mereka.

Sebagai contoh di Iran, Revolusi Ayatollah Khomeini 1979 telah mencetuskan kebangkitan golongan mahasiswa yang menginginkan satu perubahan berlaku di negara tersebut sehingga rejim Shah Mohammad Reza Pahlavi berjaya ditumbangkan.

Kebangkitan

Akibatnya, sistem monarki Iran yang telah wujud selama ribuan tahun jatuh hasil kebangkitan anak muda ini.

Generasi muda boleh dikatakan sangat suka melawan dan memberontak kerana jiwa mereka masih lagi panas dan juga hampir dikatakan generasi muda terpengaruh dengan ideologi politik bersifat idealisme.

Ditambah lagi dengan kemajuan teknologi dan era digital menjadikan generasi muda lebih berani menyuarakan suara dan hak mereka.

Kuasa maklumat dan penyebaran mesej di internet menjadikan kenapa para pemimpin tidak wajar secara mudah memandang remeh akan kuasa anak dan generasi muda ini.

Belajar daripada sejarah lepas, jatuhnya sesebuah kerajaan kerana pengundi atau rakyat mempunyai suara atau kuasa menentukan pemerintah sendiri.

Begitu juga dengan pemerintah seperti PH pada peringkat Persekutuan sekarang, mereka sentiasa terdedah untuk diturunkan oleh rakyat atau anak muda sekiranya berasa perlu melalui peti undi.

Lebih-lebih lagi apabila mereka tidak mencapai tahap sebuah kerajaan yang dapat menunaikan janji atau menjalan tugas sebagai kerajaan yang efektif.

Suara Sarawak