SETIAP kali tibanya Ramadan, saya berasa nostalgik teringat kisah zaman kanak-kanak yang berpuasa yok-yok di kampung.
Ketika itu, tidak boleh bertahan sampai petang malah sebelum tengah hari sudah berbuka.
Bukan cerita puasa yok-yok yang paling dikenang namun kisah bagaimana seronoknya berpuasa zaman kanak-kanak di kampung.
Benda pertama yang paling dirindui adalah bunyi paluan beduk yang pernah menjadi penggera utama mengejutkan untuk bangun sahur.
Biasanya beduk akan dipalu beberapa kali menandakan waktu untuk bersahur.
Bunyinya sangat jelas kerana rumah kami selang beberapa rumah dari surau.
Selepas beduk, tidak lama kemudian, ada orang kampung yang berjalan mengelilingi kampung sambil berteriak sahur!sahur!sahur!
Begitu juga apabila waktu berbuka, kami tidak perlukan penggera atau menunggu bunyi azan dalam telefon pintar kerana beduk menjadi bunyi utama yang ditunggu-tunggu penduduk kampung.
Tidak hanya bunyi beduk, satu lagi yang paling dirindu suasana Ramadannya yang penuh dengan kasih sayang.
Waktu kecil dahulu kebanyakan kita pasti berasa pengalaman disuruh orang tua untuk menghantar juadah berbuka puasa ke rumah jiran.
Ketika itu, bekas diisi juadah dipulangkan semula tanpa dibiarkan kosong, sebaliknya diganti dengan makanan lain sebagai tanda balasan daripada jiran yang bermurah hati.
Percaya atau tidak, ketika zaman kanak-kanak era kami, bertukar juadah berbuka saat yang dinanti-nantikan.
Biasanya penduduk kampung ada talian persaudaraan dengan jiran depan belakang tepi kanan kiri.
Jadi, seawal 5:00 petang, kami sudah bersedia menjadi penghantar makanan.
Dalam banyak-banyak jiran, ada sebuah rumah yang selalu kami intai.
Kalau boleh, mahu hari-hari disuruh hantar makanan ke situ.
Ia terletak di belakang rumah – merupakan kediaman pasangan guru.
Kami paling suka menghantar juadah berbuka ke rumah itu.
Kerana apa?
Kerana rumah itu memiliki peti sejuk.
Biasanya, mereka akan memberi kanak-kanak ais batu yang membeku di dalam plastik panjang jenama King Kong.
Ketika itu, tidak semua orang kampung ada peti ais.
Jadi, jika inginkan ais batu kami berebut-rebut menghantar juadah berbuka ke situ.
Namun, bukan setiap hari boleh ke rumah itu dan jika hendak merasa air sirap sejuk, kami akan ke hujung kampung, ada sebuah kedai runcit menjual ais batu segi empat.
Saiznya sama seperti bata oren untuk membina rumah.
Biasanya sementara menunggu waktu berbuka, takut aisnya cepat cair, orang kampung meletaknya di dalam guni berwarna coklat.
Ais itu akan dihempuk dengan lesung batu sehingga menjadi ketulan kecil kemudian dimasuk dalam bekas sirap.
Dingin.
Sedap.
Itu yang dapat dirasai ketika itu dan ia dianggap minuman mewah.
Begitu juga dengan juadah daripada jiran-jiran yang penuh di depan mata. Apa yang seronoknya kita mendapat pelbagai jenis lauk percuma.
Biasanya saya disuruh menghantar lauk sama kepada lima jiran dan saya membawa kembali lima lauk yang berbeza.
Apabila saya terimbas kembali memori itu, baru saya tahu betapa beruntungnya kami dulu.
Untung bukan setiap hari bertukar lauk, tetapi beruntung dapat hidup dalam persekitaran yang penuh kasih sayang.
Satu lagi, kita bukan sahaja ada variasi makanan untuk berbuka puasa, tetapi dapat berkongsi makanan yang sama walaupun duduk di dapur berbeza.
Ada yang kita dapat lauk dan dapat kuih, tetapi itulah pilihan yang lebih menarik untuk berbuka puasa.
Sebab itu, kampung sentiasa sinonim dengan keakraban dan bulan puasa pengerat kasih dengan jiran tetangga.
Apa tidaknya, jika melihat rumah kita masih gelap sedangkan masa bersahur hampir usai – jiran sebelah boleh menjerit mengejutkan kita.
Begitu juga sebaliknya kerana dulu saya sering melihat datuk saya mengetuk rumah jiran apabila kami selesai bersahur tetapi rumah mereka masih gelap.
Saya masih ingat, suatu ketika dua tiga anak muda melaungkan sahur untuk mengejutkan jiran terdekat, selain mengetuk pintu atau tingkap jiran.
Malah suasananya meriah dengan gurau senda mereka sambil memegang lampu minyak tanah sebagai sumber cahaya.
Apabila sudah dewasa dan tinggal di bandar, saya sedar kasih sayang erat dengan jiran satu nilai yang sangat penting dalam kehidupan.
Seiring perkembangan teknologi dan gaya hidup yang semakin moden, amalan bertukar-tukar juadah dengan jiran sebelah pagar mula berkurangan malah hilang terus apatah lagi yang tinggal di sebelah orang asing yang tidak pernah menyapa kita.
Saya akui, hidup di bandar dalam persekitaran angguk, angkat tangan dan saling senyum dengan jiran sebelah sudah terbiasa dalam diri kita.
Jika pun bertukar juadah berbuka puasa dengan orang sebelah, ia juadah dari bazar Ramadan yang siap berbungkus di dalam plastik.
Bagaimanapun, masak atau beli bukan isunya, tetapi niat kita untuk memberikan kepada jiran.
Namun jarang melihat kita dan jiran-jiran saling berkongsi makanan dan sebagainya.
Saya tidak menyatakan tiada langsung, ia jarang kerana kita hidup dikejar kesibukan waktu.
Memang zaman berubah dan amalan lama mula hilang dan digantikan dengan yang baharu.
Namun begitu, semangat saling menghormati, saling menolong dan mengenali antara satu sama lain sebagai jiran mesti dikekalkan.
Semua yang dahulu hanya tinggal memori.
Tak mungkin dapat diulang kembali.
Terlalu banyak perubahan yang berlaku.
Masyarakat, budaya, gaya hidup, semuanya berubah namun sekurang-kurangnya saya pernah menjadi sebahagian daripada zaman yang sudah berlalu itu.
Tanpa disedari, secara perlahan-lahan ia meninggalkan kita tetapi kita masih boleh menjadi jiran yang baik.
Keseronokan dan keindahan hidup berjiran satu momen sangat penting.
Tidak salah berbuat baik dengan jiran kerana jiran merupakan salah satu watak penting dalam lakaran hidup kita.