Beri sokongan yang tidak berbelah bagi kepada GPS

BALINGIAN: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.58 Balingian Abdul Yakub Arbi mengajak penduduk di Kawasan Sekitar DUN Balingian terutamanya masyarakat di Kampung Penakub Bazaar, Sesok, Sau dan Penakub Ulu agar memilih dan memberi sokongan padu kepada GPS sebagai parti pilihan utama.

Beliau meminta semua penduduk sentiasa bersama GPS dalam apa jua keadaan.

Kesetiaan kepada GPS akan beri peluang untuk pembangunan tempat sendiri.

Demikian menurut ADUN N.58 Balingian itu semasa berucap pada Majlis Program Perayaan Gong Xi Fa Chai di hadapan lebih 200 orang penduduk di Kampung Penakub Bazaar di sini hari ini.

Majlis Anjuran Jawatankuasa Kemajuan Dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan Kawasan RukunTetangga (KRT) Kampung Penakub Bazaar turut dihadiri oleh Penghulu Henry Lee Liong Ing, Penghulu Basiri Keri, Penghulu Tiei Jelani, Ketua-Ketua Kampung berdekatan dan penduduk Kampung Sau, Sesok serta Penakub Ulu di sekitarnya.

Menurut Abdul Yakub lagi, peruntukan pembangunan telah dan akan disalurkan ke Kampung-kampung di kawasan DUN Balingian secara berperingkat-peringkat.

Rakyat mesti memahami bahawa GPS sentiasa mengutamakan pembangunan untuk mereka.

Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Pengelola Program Perayaan Gong Xi Fa Chai Kampung Penakub Bazaar, Kapitan Kueh Bing Chuan turut berucap dengan memuji penduduk di Kampung sekitar termasuk Penakub Bazaar.

Pesan beliau agar penduduk sentiasa memelihara serta mengamal perpaduan serta keharmonian kaum sesama mereka.

Beliau turut berkongsi kegembiraan kerana Kampung Penakub Bazaar dan sekitarnya tidak ketinggalan dalam pembangunan dari masa ke semasa.

Tambahnya lagi, penduduk Kampung Penakub Bazaar perlu bersabar kerana pembinaan dewan serbaguna bakal siap tidak lama lagi.

Selain itu, Kueh berharap agar wakil rakyat di kawasannya prihatin dengan pembangunan di kampung tersebut.

Sebelumnya itu, Abdul Yakub disambut dengan meriah dengan dipersembahkan oleh persembahan Tarian Singa, jamuan Tahun Baharu Cina 2020 dan seterusnya turut menyampaikan pemberian Ang Pau kepada 20 penerima warga emas dan kanak-kanak.

Suara Sarawak