ARTIKEL

Beri tumpuan kepada potensi pembangunan ekonomi, keusahawanan di Sabah dan Sarawak

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

KOTA KINABALU: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick mencadangkan kerajaan memperkenalkan dasar baharu yang memberi tumpuan kepada potensi pembangunan ekonomi serta keusahawanan di Sabah dan Sarawak.

Beliau yang menggunakan istilah ‘dasar pandang ke Timur dalam negara’ itu perlu dibangunkan sebagai hala tuju baharu bagi menjayakan pembangunan ekonomi Sabah dan Sarawak memandangkan kedua-dua negeri mempunyai pelbagai sumber dan aset yang berpotensi.

“Kalau Indonesia misalnya sudah melihat potensi Borneo sehingga membangunkan ibu kota Nusantara mereka, kalau Sarawak sudah berada di hadapan dalam pembangunan ekonomi berasaskan teknologi hijau dan industri air, maka Sabah juga mempunyai potensi untuk dibangunkan.


“Semua ini memerlukan dasar baharu yang memberi tumpuan untuk melihat pembangunan Malaysia Timur iaitu Sabah dan Sarawak sebagai pusat ekonomi baharu negara seperti pusat-pusat ekonomi di Semenanjung dibangunkan selama ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival UDA 2023 @ Sabah di sini, pada Sabtu.

Ewon yang juga Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) berkata wawasan dan dasar baharu itu perlu selaras dengan semangat kebersamaan Sabah dan Sarawak dalam Persekutuan Malaysia.

“Justeru, wawasan kita bukan hanya menuntut Perjanjian Malaysia dilaksanakan malah juga kita mahu satu tumpuan lebih baik melibatkan kerjasama lebih padu antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri. Cara kita menjayakan pembangunan ekonomi di Sabah dan Sarawak di bawah hala tuju, tumpuan dan dasar baharu,” katanya.


Beliau berkata Sabah misalnya mempunyai pelbagai sektor yang berpotensi dibangunkan termasuk dalam aspek pertanian pintar.

“Pertanian pintar boleh dibangunkan di Sabah memandangkan kita mempunyai aset iaitu tanah. Kita mempunyai populasi agak besar dan berjiran dengan negara (Kalimantan, Indonesia).


“Pertanian pintar pun menjadi satu daripada lapan fokus PMKS (Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana) di negara kita dan saya ingin melihat Sabah menekankan fokus ini,” katanya. – BERNAMA

LAIN-LAIN BERITA

Planetarium Negara sambut 30 Tahun Jubli Mutiara

KUCHING: Sambutan 30 tahun Jubli Mutiara Planetarium Negara sempena Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Bulan Februari 2024 dirasmikan oleh Timbalan Menteri

BERITA TERBARU