SERIAN: Berikan mandat kepada GPS supaya pembangunan berterusan dapat dilaksanakan terutama rangkaian infrastruktur.
Pengerusinya Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, pihaknya akan melaksanakan setiap projek yang dirancang jika kembali diberi kuasa memerintah negeri.
“Sekiranya GPS diberi mandat untuk kembali memerintah, kerja naik taraf rangkaian jalan ke Kampung Annah Rais ini akan dilaksanakan.
“Saya baru menerima permohonan untuk menaik taraf rangkaian jalan raya ke Kampung Annah Rais serta kampung-kampung di sekitarnya,” katanya ketika melancarkan projek menaik taraf Jalan Padawan Tapah, Bahagian Serian di sini semalam.
Abang Johari yang juga Ketua Menteri menambah, beliau tidak dapat berjanji meluluskan projek itu pada masa ini kerana ia mengambil masa dan menelan kos besar.
“Beri mandat kepada GPS untuk berkuasa kembali supaya kami dapat menunaikan keperluan rakyat.
“Diikutkan, projek naik taraf jalan ini akan dilaksanakan hingga ke Tebedu dengan kos RM197 juta.
“Peruntukan ini akan diberi jika GPS diberi kuasa di samping meneruskan kerja naik taraf Jalan Padawan,” tegasnya.
Beliau mengucapkan terima kasih kepada rakyat Sarawak kerana bekerjasama memerangi pandemik Covid-19 apabila negeri ini kembali kepada kawasan hijau.
“Namun, kita jangan sesekali sambil lewa kerana penyakit ini tidak dapat dilihat dengan mata kasar dan sentiasa mematuhi SOP yang ditetapkan.
“Dengan sikap berdisiplin dan tanggungjawab rakyat Sarawak, segala masalah dapat diselesaikan,” ujarnya.