Berita palsu: Wartawan tidak rasmi cabaran besar

KUCHING: Penyebaran berita palsu antara cabaran utama media massa masa kini apabila nisbah seorang wartawan rasmi bersamaan 100 orang wartawan tidak rasmi.

Menteri Muda Hal Ehwal Korporat dan Unit Komunikasi Awam Sarawak, Abdullah Saidol berkata, kini ramai wartawan tidak rasmi melaporkan berita yang tidak benar.

“Oleh sebab itu, media rasmi seperti RTM dan media-media lain memainkan peranan penting untuk memperjelaskan dan menyebarkan berita yang sebenar.

“Ini ialah antara cabaran besar media rasmi masa kini seiring dengan teknologi komunikasi yang semakin canggih,” tegasnya. Beliau berkata demikian semasa merasmikan Majlis Sambutan Ulang Tahun RTM ke-75 di Auditorium P. Ramlee di sini.

Abdullah turut mengingatkan kepada semua wartawan rasmi supaya sentiasa melaporkan maklumat yang tepat bagi menangani masalah berita palsu yang semakin berleluasa hari ini.

Ujarnya, teknologi digital turut memberi cabaran kepada wartawan rasmi dalam melaksanakan tugas mereka kerana mereka bukan lagi satusatu pihak yang dapat mengambil gambar atau membuat laporan berita.

“Kini semua orang boleh memiliki kamera canggih untuk mengambil gambar dan melaporkan sesuatu kejadian. Ini menjadi cabaran kepada wartawan,” katanya.

Beliau turut mengingatkan media elektronik dan cetak untuk sentiasa mengangkat isu kemanusiaan dalam laporan mereka.

“Saya berharap media dapat mengangkat isu kemanusiaan seperti semangat bersatu padu dan patriotik untuk menyedarkan masyarakat,” katanya. Turut hadir Pengarah Penyiaran Sarawak, Abdul Hadi Mohd Yusoff.

Suara Sarawak