KUCHING: Polis Sarawak menegaskan berita viral mengenai penutupan Pasar-pasar basah tempoh hari adalah palsu.
Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Dev Kumar M.m Sree mengesahkan bahawa kesemua premis yang menjual makanan termasuk pasar raya dan kedai runcit masih dibuka seperti biasa.
Katanya, penyebaran berita palsu mengenai penutupan pasar basah itu sekaligus mengundang keresahan pada masyarakat setempat.
“Masyarakat tidak perlu bimbang, pasar-pasar, supermarket, kedai-kedai runcit yang menjual makanan masih dibuka,” jelasnya dalam satu kenyataan semalam.
Susulan itu, tegasnya, pihaknya tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang suka bertindak menyebarkan sebarang berita palsu sedemikian.
“Orang ramai diingatkan untuk berhenti melakukan perbuatan yang menyalahi undang-undang ini.
“Sekiranya mereka berjaya dikesan, kita akan tangkap serta merta dan pesalah akan dikenakan tindakan undang-undang,” ujar beliau lagi.