Berkongsi kegembiraan dengan golongan memerlukan

LIMBANG: Komuniti Bahai terus komited menjalankan kerjasama dengan pelbagai NGO bagi mendekati masyarakat melalui beberapa programnya.

Pengerusi Agama Bahai Cawangan Limbang Kong Swee Moi berkata, strategi bersemuka mampu mengeratkan lagi silaturahim, kerjasama dan persefahaman sedia ada.

Di samping itu katanya, membantu masyarakat yang kurang berkemampuan.

Ujarnya, setiap tahun penganut agama Bahai seluruh dunia akan melakukan program melibatkan masyarakat setempat.

“Setiap tahun, pada 25 sehingga 29 Februari dikenali sebagai hari ‘Ayameha’, komuniti agama Bahai akan mendekati masyarakat memerlukan seperti golongan tua, miskin dan orang kurang upaya.

“Ini merupakan amalan agama kami iaitu di sepanjang tempoh tersebut, kami akan memberi kegembiraan kepada semua golongan sebelum berpuasa selama 19 hari,” ujarnya.

Beliau berkata demikian semasa mengadakan Program Amal Bakti bersama-sama pelajar Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Limbang.

Swee Moi berkata, program bersama-sama PPDK Limbang adalah antara program tahunan penganut Bahai Cawangan Limbang.

Menurutnya, ini merupakan tahun ketiga program yang sama diadakan bagi mendekati golongan kurang upaya.

“Apa yang kita lihat pada hari ini adalah penyertaan daripada kalangan pelbagai agama dan kaum.

“Objektif utama kami bukan sahaja untuk berkongsi kebahagian kepada golongan OKU, malahan menyatukan pelbagai agama dan kaum agar suasana harmoni terus dapat dikekalkan,” jelasnya.

Tambahnya, penganut agama Bahai bagi Bahagian Limbang sudah melebihi 800 orang dan dijangka akan meningkat.

Oleh itu katanya, perancangan untuk membina pusat ibadat untuk penganut agama Bahai akan dipertimbangkan mengikut permintaan serta keperluan semasa.

Pelbagai program telah diadakan sepanjang hari termasuk gotong-royong menghias bangunan PPDK, senaman dan nyanyian.

Turun memeriahkan majlis, Che Chuan Khor Moral Uplifting Society Limbang.

Suara Sarawak