Trending

Berkorban mencapai matlamat

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
E-mel

MUKAH: Kekuatan Politeknik dan Kolej Komuniti (POLYCC) merupakan penyumbang tenaga kerja teknikal terbesar negara dengan jumlah 40 peratus.

Pengarah Politeknik Mukah (PMU) Hisamudin Mohd Tamim berkata, bertemakan ‘POLYCC Pemacu Negara Madani’, ia merupakan tema horizon baharu ke arah mentransformasikan POLYCC. 

“Ini bertepatan dengan tema tersebut agar POLYCC menjadi lebih mandiri, kalis cabaran masa hadapan serta mempunyai kebolehsaingan yang tinggi. 

“POLYCC juga berdiri dengan kekuatan 36 politeknik, 105 kolej komuniti, 10,1211 orang staf dan 98,045 orang pelajar di seluruh negara.

“Jadi, semasa perhimpunan bulanan ini, ia merupakan peluang untuk melihat semula nilai pengorbanan dalam pekerjaan kita,” katanya. 

Beliau berkata demikian semasa Majlis Perhimpunan Bulanan PMU Bilangan 6 Tahun 2023, di Dewan Kuliah Utama PMU di sini. 

Menurutnya, sebagai staf PMU, sikap sanggup berkorban adalah penting dan saling memahami bahawa pengorbanan dalam tugas serta tanggungjawab membawa manfaat kepada orang lain. 

“Saya menggalakkan semua staf di sini untuk melihat keperluan pengorbanan sebagai satu peluang untuk berkongsi kasih sayang, keikhlasan dan dedikasi yang lebih besar serta bekerjasama dalam satu pasukan.

“Mungkin dalam beberapa situasi memerlukan kita untuk bekerja lebih masa demi menyiapkan tugas penting atau memberi sokongan kepada rakan sekerja yang memerlukannya.

“Namun, diingatkan juga pengorbanan ini bukan tanpa faedah kerana ia adalah tanda kesetiaan kepada organisasi dan juga kepada komuniti yang berkaitan,” jelasnya.

Katanya, melalui pengorbanan ini, sudah tentu sesebuah organisasi dapat mencapai hasil yang lebih baik dan memberikan impak yang lebih besar kepada masyarakat. 

Beliau yakin, pencapaian yang dikecapi iaitu POLYCC berjaya melepasi kadar kebolehpasaran sebanyak 90 peratus sepanjang tiga tahun berturut-turut disebabkan pengorbanan masing-masing. 

“Kini, kita juga dapat melihat kejayaan dan tugas yang perlu kita dokong dan laksanakan bagi mencapai kejayaan yang mendatang, antaranya melalui Transformasi POLYCC 2023 hingga 2027 berkaitan dengan sektor pendidikan dan latihan teknik vokasional (TVET). 

“Oleh itu, saya ingin mengingatkan bahawa pengorbanan merupakan asas penting dalam kehidupan kita terutamanya dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab sebagai staf di sini. 

“Semua kita mempunyai peranan dan tanggungjawab yang berbeza, tetapi semuanya memerlukan pengorbanan untuk mencapai matlamat bersama,” tambahnya. 

Bagi menghargai pengorbanan dalam menjayakan kejayaan pencapaian PMU, beberapa staf dianugerahkan sebagai pekerja contoh bulanan (APCB) bagi bulan April lalu.

Hadir sama Timbalan Pengarah Akademik Iskandar Reduan, Timbalan Pengarah Sokongan Akademik Sophian Sout dan Ketua Jabatan Kejuruteraan Mekanikal Mohd Ghafran Mohamed.

Suka artikel:

e-Akhbar Suara Sarawak

Berita Berkaitan

E-Paper

22 September 2023

Berita Terbaru