ARTIKEL

Bernama lantik dua Timbalan Ketua Pengarang baharu

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUALA LUMPUR: Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) semalam mengumumkan pelantikan Nur-ul Afida Kamaludin dan Arul Rajoo Durar Raj sebagai Timbalan Ketua Pengarang yang baharu.

Perkara itu diumumkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Roslan Ariffin di Wisma Bernama di sini.

Nur-ul Afida, 56, dilantik sebagai Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita manakala Arul Rajoo sebagai Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Ekonomi.

Nur-ul Afida yang telah berkhidmat untuk Bernama selama 38 tahun sejak 1985 pernah bertugas di pelbagai bahagian dan unit termasuk Meja Berita Am, Meja Penyuntingan Bahasa Melayu, Unit Foto serta Meja Rencana dan Penulisan Strategik, selain menjadi tenaga pengajar bagi Bernama School of Journalism sejak 2009.

Beliau merupakan Ketua Perancangan Strategik Bernama sebelum pelantikan bersejarah hari ini sebagai wanita pertama dilantik ke jawatan Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita.

Beliau yang ditemui selepas pengumuman berkata, beliau berharap dapat memperkasakan peranan Perkhidmatan Berita sebagai penyalur berita dan maklumat yang diyakini kepada rakyat, dan pada masa sama membimbing wartawan untuk membuat pelaporan berita yang berobjektif dan adil sepertimana yang diperuntukkan dalam Akta Bernama 1967.

“Bernama adalah satu-satunya agensi di bawah Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) yang menjadi sandaran kepada berpuluh-puluh pelanggan termasuk portal media selain orang ramai untuk mendapatkan kandungan berita yang tepat dan sahih.

“Dalam era digital kini, kita (Bernama) perlu membantu kerajaan untuk menyampaikan mesej dengan tepat dan pada masa yang sama, cuba membanteras liputan yang tidak benar, dan itu peranan yang akan saya lakukan untuk peringkat awal,” katanya di sini hari ini.

Beliau turut pernah berkhidmat sebagai pemberita kadet di Tinta Press Sdn Bhd (penerbit akhbar Harian Nasional, Mingguan Perdana) selama setahun dari Januari hingga Disember 1984 sebelum menyertai Bernama.

Sementara itu Arul Rajoo, 54, berharap agar dapat membantu dalam menghasilkan artikel berita yang lebih mendalam dan pelbagai.

Beliau berkata Perkhidmatan Berita Ekonomi yang dilihatnya bergerak dengan baik, akan cuba melihat kepada produk-produk baharu untuk dilaksanakan pada tahun-tahun akan datang.

“Saya turut menulis berita-berita berkaitan perniagaan dari semasa ke semasa, terutama ketika saya menjadi Ketua Biro Bernama Perak dan koresponden di Thailand. Saya harap dengan pengalaman saya, saya boleh menyumbang lebih banyak lagi dalam Perkhidmatan Berita Ekonomi, lebih-lebih lagi dengan keadaan ekonomi semasa negara.

“Kita akan bekerjasama dalam satu pasukan untuk menghasilkan berita-berita yang lebih baik dan eksklusif untuk pelanggan serta penonton; kemungkinan besar kita akan melakukan lebih banyak program antara jabatan yang melibatkan platform lain seperti Bernama TV, Radio dan platform digital, di samping rakan kongsi di peringkat antarabangsa,” katanya.

Arul Rajoo yang menyertai agensi berita nasional itu pada 1991 sebagai wartawan kadet, bertugas di meja sukan sehingga 1998, dan meja berita am sehingga 2001, sebelum memegang jawatan Ketua Biro Bernama Perak dan seterusnya pada 2005, koresponden Bernama di Thailand.

Beliau kemudian menjadi Pengarang Tiga Perkhidmatan Berita Bernama pada 2010 dan pada 2011, dan kemudiannya pengarang tugasan Bernama TV, sebelum dilantik sebagai Ketua Penyiaran TV dan Radio Bernama pada 2022. — BERNAMA

BERITA LAIN

FAHMI KECAM TINDAKAN UGUT, ANCAM KESELAMATAN WARTAWAN

KUCHING: Kerajaan memandang serius dakwaan ahli politik menyerang dan mengugut wartawan sebuah portal berita berbahasa Tamil baru-baru ini.Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata beliau berpendirian bahawa

BERITA TERBARU