Berpantang maut sebelum ajal

BINTANGOR: Berpantang maut sebelum ajal. Begitu nasib lima anggota Rela apabila kereta jenis Perodua Axia yang dinaiki mereka hilang kawalan sebelum terbalik di Jalan Bakong di sini, petang tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bintangor, Nicholas Belulin berkata, kesemua mangsa dipercayai dalam perjalanan menghala ke arah IPG Bintangor sejurus selesai menjalani latihan di Dewan Masyarakat Bintangor.

Bagaimana pun katanya, sebaik tiba di tempat kejadian, kenderaan mereka hilang kawalan sebelum terbabas dan terbalik di bahu jalan.

“Seorang mangsa cedera di kepala manakala selebihnya cedera ringan. Tiga daripadanya dihantar ke Klinik Kesihatan Bintangor untuk rawatan susulan dengan menggunakan ambulans manakala, dua lagi oleh pacuan empat roda milik Bomba,” katanya kepada media.

Menurut Nicholas, pasukannya bergegas ke tempat kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada 12.20 tengah hari.

Anggota Bomba memberikan pertolongan cemas kepada mangsa.

Sebaik tiba di lokasi ujarnya, Bomba mendapati kereta terbabit dalam keadaan terbalik sementara kesemua mangsa telah dikeluarkan dari kenderaan tersebut oleh orang ramai.

Pada masa yang sama katanya, tidak ada mangsa yang tersepit.

“Kami hanya memberi pertolongan cemas kepada mangsa sementara menunggu pihak ambulans tiba.

Kita juga melakukan pemantauan susulan bagi memastikan kawasan kejadian selamat untuk dilalui oleh kenderaan lain, “ ujarnya sambil menambah lokasi kejadian terletak kira-kira tujuh kilometer (km) dari Balai Bomba Bintangor.

Seorang mangsa diberikan rawatan sebelum dikejarkan ke Klinik Kesihatan Bintangor.

 

Mangsa hanya mengalami kecederaan.

Suara Sarawak