
MUKAH: Penduduk di Kampung Sungai Kut, Dalat dan ada yang datang dari Oya serta Mukah seakan-akan terlibat dalam satu pesta apabila bersama-sama mengutip ulat Lamas atau dikenali Lelamaih.
Mereka dilihat mengutip makanan eksotik itu yang merayap di atas permukaan jalan raya serta daun-daun kayu Nyatoh di tepi jalan dari Pekan Dalat menuju ke Kampung Sungai Kut sejak petang semalam.
Salah seorang penduduk Kampung Sungai Kut, Conelia Peter Usan ,40-an, ketika ditemu-bual memberitahu penemuan Lelamas mula disedari apabila banyak yang merayap menyeberangi jalan serta pada daun kayu Nyatoh yang tumbuh di tepi jalan.
“Tidak lama selepas itu, keadaan di sepanjang jalan ini menjadi riuh rendah dengan kehadiran orang ramai yang datang mengutipnya,” katanya.
Julita Jula, 47, penduduk Kampung Tanam, Dalat yang turut sama berada di tempat kehadiran Lelamas itu berkata berdasarkan saiz Lelamas yang muncul itu, ia adalah induk yang bertelur membentuk kepompong sebelum menjadi Lelamas yang memiliki rasa seperti yang digemari dan menarik perhatian ramai pemakannya.
“Lelamas induk ini rasanya pun masih pahit dan masam berbanding dengan kewujudan anak-anak Lelamas.
“Ada orang yang sempat mengumpul Lelamas yang sudah matang dan boleh dimasak rebus atau disalai untuk menikmati rasa lemak dan manis,” katanya sambil menambah rasa Lelamas lebih sedap jika dibandingkan dengan ulat mulong (sagu).

Senah Mat, 88, yang merupakan penggemar tegar Lelamas berkata ulat itu tidak memudaratkan kesihatan malah ia bersih dan baik untuk kesihatan.
“Biasanya Lelamaih boleh dimasak dengan cara direbus dengan air dan garam serta boleh juga dipanggang supaya ia tahan lebih lama.
“Ia juga boleh dimakan dengan satu atau nasi,” kata anak jati Melanau itu.
Selain ulat mulong atau turut dikenali sebagai Si’et, Lelamaih juga merupakan salah satu makanan eksotik bagi masyarakat Melanau di Mukah.
Habitat bagi ulat ini adalah di dalam daun pokok Nyatoh dan ia hanya terdapat di hutan-hutan tertentu sahaja di sekitar Dalat dan Mukah.
Proses bagi mendapatkan atau mengumpul ulat Lelamas ini juga bukanlah mudah.
Oleh sebab itu, harga ulat ini mampu mencecah RM400 sehingga RM600 sekilogram ketika ini, seakan harga ikan Empurau.
Walaupun harganya tinggi, namun ulat Lelamaih ini sentiasa mendapat sambutan daripada masyarakat Melanau kerana keenakan rasanya yang tersendiri.