BERPUASA kerana tiada MAKANAN

RAMADAN tiba lagi, 13 April 2021. Ramadan ini hampir sama dengan tahun lalu kerana kita menyambutnya dengan SOP diperketat susulan Sarawak diletak di bawah PKP Bersyarat.

Semalam pula, majlis tempatan membatalkan penganjuran bazar Ramadan susulan peningkatan drastik kes Covid-19.

Apabila melihat pemakluman pembatalan bazar, fikiran saya segera menerjah kepada sahabat menjual juadah berbuka.

Minggu lepas dia sudah sibuk membeli kontena kecil bulat untuk diletakkan pelbagai juadah dijual di bazar.

Katanya, antara masakan paling digemari pelanggan ialah acar rebung dan kerabu mangga.

Ketika ini dia menjualnya mengikut tempahan pelanggan.

“Sudah dibatal, nampaknya berjual secara dalam talian,” katanya. Saya katakan kepadanya semalam, rezeki sudah pasti ada di mana-mana. Dia bukan hanya ibu tunggal, tetapi ibu yang tabah membesarkan empat anak yang masih bersekolah.

Walaupun berniaga kecil-kecilan, tetapi ancaman Covid-19 tidak pernah melemahkan semangat terus bertahan.

Perkenalan kami sudah lama ketika dia berada di puncak kejayaan. Ketika itu dia seorang usahawan berjaya dalam bidang pengurusan makanan.

Dia datang dari Semenanjung. Dia sudah lama menetap di Kuching, hampir 15 tahun.

Bertemu jodoh di sini, dan beranak-pinak pun di sini.

Bermula dengan menjual menu Pantai Timur di gerai kecil, menunya agak laris. Setelah beberapa tahun, sahabat saya membuka kedai makan dari 7 malam hingga 1 pagi yang menghidangkan makanan laut bakar termasuk menu air tangannya dari Pantai Timur.

“Datanglah, jenguk-jenguk ke sini,” katanya pada April 2018. Waktu itu kedainya sangat laris ditambah pula dibuka di kawasan pentadbiran tentera. Pertama kali di situ, saya kagum dengan semangat anak-anaknya termasuk suaminya yang membantu.

Dia mempelawa ipar duai dan kawan-kawannya bekerja.

Katanya, rezeki itu harus dikongsi. Saya kagum dengan semangatnya yang tidak pernah merungut walaupun terpaksa bangun seawal 4 pagi ke pasar basah borong, menyediakan bahan masakan sehingga 11 pagi.
Dia lakukan seorang diri. “Suami saya?

Dia tauke sebenar,” katanya apabila kami bertanya peranan suaminya.

Ketika itu, kami cuma mengiyakan jawapannya. Ketika sibuk mengejar kerjaya, kami jarang bertemu apatah lagi waktu senggang kami hampir sama – sibuk pada waktu malam dan ketika manusia lain turun pejabat pagi, orang seperti kami berehat di atas katil.

Sehinggalah tahun lalu, ketika kita terpaksa berhadapan dengan PKP fasa pertama, saya menerima satu pesanan WhatsApp daripada seorang kawan. Katanya, ada seorang ibu tunggal terpaksa mempuasakan anak-anaknya kerana terputus bekalan makanan.

“Anak bongsu umur dua tahun saja tidak puasa.

Si kakak 13 tahun, adiknya 8 tahun dan 7 tahun berpuasa.

Berbuka makan bubur nasi dengan kicap,” katanya.

Saya tidak dapat mendengar penderitaan ibu apabila tidak dapat menyediakan makanan untuk anak-anaknya.

Temu Janji

Kawan saya membuat janji temu dengan orang tengah bagi membolehkan kami berjumpa dengannya.

Saya juga meminta bantuan seseorang yang penting di kementerian berkaitan untuk apa-apa sahaja bantuan.

Setelah beberapa hari, janji temu 2 petang, ketika itu saya tidak bekerja dan terus ke rumahnya di sekitar Petra Jaya.

Ketika dalam perjalanan, kawan saya menunjuk mesej berantai berkenaan beberapa bantuan yang sudah kongsi dengan asnaf lain.

Saya mengakui miliki ramai kawan berhati mulia yang sentiasa membantu orang susah.

Apabila sampai di sebuah rumah kecil, saya difahamkan rumah itu baru disewa ibu tunggal berkenaan enam bulan lalu – saya melihat perkakas dapur berselerak di depan rumah.

“Dengarnya, dulu dia ada kedai makan,” kata kawan saya sambil menjinjing beg beras.

Kami membawa beras, telur, mi segera, kicap, minyak dan pelbagai keperluan asas lain.

Apabila tiba di luar rumah dan pintu dibuka – saya sangat terkejut kerana di depan saya, berdiri seorang yang saya kenali.

Dia cuma berkain sarung, berbaju basahan yang lusuh dan tudung sambil mengendong anaknya.

Dia pun terkejut dan terus memeluk saya. Tanggapan pertama saya sebaik sahaja bertemu, saya seorang kawan yang ketika dia senang tetapi ketika susah, dia menyembunyikan diri.

Sebelum berbicara, tangisannya yang dulu singgah di bahu saya. Saya membiarkannya menangis sepuas-puas hatinya.

Katanya, dia kehilangan telefon bimbit dan semua nombor kawannya hilang.

“Bukan tidak mencari, tetapi saya kehilangan banyak nombor kawan,” katanya memulakan bicara.

Saya melihat anak-anaknya dengan wajah sugul.

Ibu Tunggal

Hendak dijadikan cerita, dia sudah bergelar ibu tunggal selepas ditinggalkan suaminya.

“Bukan kerana orang ketiga, kerana dia lelaki pemalas,” katanya.
Apabila kedai makannya semakin maju, kawan saya terlalu sibuk di bahagian dapur dan bahan mentah hingga dia mengupah sahabat baik suaminya menjaga kaunter bayaran.

“Dia tidak peduli langsung, malah saya menyuruh dia menjaga akaun dengan harapan, biar pergerakan keluar masuk kewangan teratur.

“Jangkaan saya benar belaka. Kawannya songlap hampir RM40,000. Saya dapat tahu selepas perolehan syarikat menyusut dan langsung tidak pulang modal,” katanya.

Peristiwa itu membuka ruang perkelahian antara mereka semakin membesar.

“Ketika saya hampir jatuh di tebingan yang curam, baru saya tahu suami saya sebenarnya menunggu bila-bila masa untuk menolak saya.

“Tanpa sebab dan saya tak tahu punca sebenarnya dia meninggalkan kami anak-beranak dan membuka kedai makan bersama-sama kawannya.

“Saya anggap itulah rancangannya dari awal. Dia mula berubah tiga bulan sebelum dia mula pisahkan ruang kelamin kami.

Saya mulanya anggap dia keletihan, tetapi saya pun letih,” katanya.

Akhirnya teka-teki terjawab apabila kawan saya ditinggalkan sehelai sepinggang dengan anak-anak dan bekas suaminya mengahwini tukang masak muda.

Selepas menyewa di tempat baharu, dia mengambil upah membuat tempahan keropok lekor sejuk beku.

Tetapi apabila PKP dilaksanakan di seluruh negara, dia mati kutu.

“Kakak dan dua adiknya saya puasakan. Dua yang masih kecil tidak faham, saya cuma katakan besar pahala apabila kita puasa sunat.

Si kakak dia faham kerana sudah akil baligh.

Ada Hikmah Yang Dijanjikan

“Kami makan bubur nasi dan kicap. Saya reda dengan perkara yang berlaku dan percaya, setiap musibah ada hikmah yang Allah janjikan,” katanya.

Selepas pertemuan itu, dengan bantuan orang tertentu, keropok lekor sejuk beku lebih laris dengan adanya bantuan peti sejuk dan mesin pengisar.

Manakala, anak-anaknya mendapat bantuan bulanan.

Dia berterima kasih berjuta kali dengan saya. Saya tidak berbuat apa-apa pun, cuma menekan nombor telefon orang tertentu memohon bantuan.

Saya percaya dengan memberi kail memancing ikan, lebih berkesan daripada memberi ikan yang dimakan sekali dua.

Saya juga percaya betapa penting kita menjaga hubungan dengan orang penting supaya kita dapat memohon bantuan, bukan untuk diri kita, tetapi orang lain yang lebih memerlukan.

Dan yakinlah juga, apabila kita mempermudah urusan orang lain, Allah pasti mempermudah urusan kita.

Jadi, sentiasa berbaik dengan orang sekeliling, buangkan perasaan sakit hati dan berdendam. Hidup ini terlalu singkat untuk kita habiskan dengan perasaan sia-sia.

Suara Sarawak