KUCHING: Kelewatan menghantar dokumen kepada pihak Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) menyebabkan Sarawak United FC (SU FC) gagal mendapatkan Lesen Kebangsaan untuk bersaing dalam kancah Liga Super 2023.
Menurut Presidennya Datuk Posa Majais, masalah yang berkaitan telah diselesaikan dan semua dokumen berhubung perkara itu sudah tersedia.
“Kita agak lambat menghantar dokumen yang diinginkan oleh pihak MFL pada tarikh ditetapkan, lalu menyebabkan Sarawak United gagal mendapatkan lesen berkenaan,” katanya kepada Arena Suara Sarawak.
Menurut Posa, pihaknya berpandukan prosedur yang telah ditetapkan badan induk berkenan (MFL).
Dengan kata lain, pengurusan SU FC akan mengemukakan rayuan berhubung perkara tersebut.
“Kami akan menghantar surat rayuan kepada pihak MFL dalam masa terdekat,” tambahnya lagi.
“Kita percaya masalah ini akan dapat diselesaikan kerana tarikh akhir membuat rayuan pada 19 Oktober ini,” katanya.