KUCHING: Sebagai ‘Keluarga Malaysia’, kita telah dibesarkan dan diajar untuk menghargai keharmonian sosial, mengelakkan konflik dan menghormati orang lain.
Timbalan Menteri II Menteri Perusahaan, Peladangan dan Komiditi, Datuk Willie Mongin berkata ia bukan usaha satu-satu pihak, setiap orang memainkan peranan yang sangat penting dalam memelihara keluarga, masyarakat dan negara yang bersatu-padu walaupun terdapat perbezaan politik dan kepercayaan.
“Saya menegaskan bahawa membina hubungan baik antara satu sama lain terutama pada tempoh ini adalah usaha terbaik yang dapat kita praktikkan untuk mengekalkan keamanan, keadilan,dan kemakmuran untuk semua,” katanya dalam satu kenyatan hari ini.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Puncak Borneo berkata pada 58 tahun yang lalu, pembentukan Malayisa hari ini adalah hasil dari visi yang luar biasa dan usaha yang tidak putus-putus dari pemimpin terdahulu yang berani dan bersatu untuk membentuk Persekutuan Malaysia yang lebih kuat dan bebas yang mengikat Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan Singapura bersama-sama.
“Malaysia adalah permata yang unik – kita wujud bersama dalam masyarakat pelbagai budaya
“Dalam meraikan Hari Malaysia kali ini saya ingin menyampaikan ucapan terima kasih dan tahniah kepada semua rakyat Malaysia untuk kejayaan ini.
“Saya yakin bahawa ketika negara kita meningkatkan usaha untuk memastikan usaha program vaksinasi kebangsaan berjalan lancar dan pantas terhadap pandemik Covid-19, kita secara perlahan-lahan pasti dapat kembali ke keadaan yang normal,” ujarnya lagi.
Sehubungan itu, beliau mendoakan agar semua pihak sentiasa selamat, diberkati dengan kesihatan yang baik, sentiasa produktif untuk kemajuan pembangunan sosio-ekonomi yang berterusan.
“Harapan saya agar kita semua dapat bekerja sama untuk memperkuat daya tahan imuniasi diri dan meningkatkan rancangan pemulihan ekonomi kita setelah berlakunya pandemik ini untuk tahun-tahun yang akan datang,” katanya.