BANDAR raya Kuching mengalami transformasi pembangunan yang ketara. Kepesatannya menjadi milik semua warga bandar yang kian menuju urban dan suatu hari bakal mencapai tahap hutan batu, kota metropolitan.
Sebagai bandar raya berbudaya, Kuching berbangga menjadi antara bandar raya bersih yang tercarta dalam ranking dunia.
Dalam ucapan Majlis Gawai Ngiling Bidai 2019 pada Selasa, Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg mendedahkan sekitar 80,000 kaum Iban kini turut menghuni Kuching untuk berkongsi udara yang sama dengan masyarakat sedia ada di Kuching ini.
Bahkan, melalui penghijrahan atau migrasi yang positif berbekalkan ilmu dan kelulusan pendidikan dari sistem pelajaran yang sama dengan kaum lain, masyarakat Iban berdiri sama tinggi dengan kaum lain.
Tidak sekadar berkongsi udara yang sama, keindahan, pemandangan dan kemajuan termasuk kemudahan prasarana yang terdapat di bandar, bahkan kaum Iban termasuk Bidayuh dan suku etnik lain mempunyai peluang sama rata untuk berkongsi kek ekonomi dengan kaum lain.
Benarlah, bahawa peluang pekerjaan menarik minat kaum Iban mendiami bandar raya ini untuk mencari rezeki dan nafkah hidup selagi mereka mahu.
Ini negeri dan bandar raya kita bersama. Kita berhak bersama merebut peluang yang mampu kita jangkau selagi terdaya bersama-sama di dalam bandar raya berbudaya penuh toleransi ini.
Menjelang beberapa tahun lagi, penduduk Kuching Raya akan mencapai jumlah sejuta orang. Ketika itu kehadiran warga luar termasuk pelancong luar dan mereka yang singgah akan bertambah.
Ini membantu merancakkan pembangunan bandar raya Kuching termasuk melancarkan ekonominya.
Di sini kita akan terasa betapa kita sememangnya memerlukan antaranya sistem perkhidmatan pengangkutan yang efektif termasuk LRT kerana ternyata setiap penghuni semakin mahu pantas bergerak di bandar yang sibuk.
Di kota ini kelak, semua kaum tanpa mengira siapa pun dia, bebas tampil menjadi salah seorang pemain ekonomi.
Atau tampil mengambil bahagian menjadi warga bandar raya yang aktif dalam bidang yang mahu diceburinya termasuk sama ada menjadi pekerja kolar putih atau biru bergantung kepada ilmu atau kecekapannya.
“Perubahan dan kemajuan dalam dunia ekonomi membawa kepada ekonomi digital.
“Komuniti Dayak dilatih dalam era baru ini dan akan menjadi sebahagian daripada transformasi ekonomi,” begitulah harapan Abang Johari.
Beliau yakin melalui perkembangan dan pembanguann drastik negeri ini, sedekad akan datang populasi kaum Iban di Kuching akan meningkat.
Begitu juga dengan kaum lain yang mahu mengejar kemajuan dan pembangunan, migrasi mereka ke bandar penting di negeri ini demi mengejar cita-cita turut membantu pembangunan dan kemajuan pesat bandar raya ini demi masa depan.