Bersantai di warung kapal

SARIKEI: Idea kreatif seorang peniaga mengubah warungnya menjadi replika muncung kapal sejak Ogos lalu mendapat sambutan luar biasa pelanggan untuk menikmati pelbagai hidangan, sambil bersantai.

Kreativiti Osman Jalaini Rambli, 45, di Kampung Selalang pernah mendapat liputan Suara Sarawak sebelum mencuri tumpuan ramai selepas ceritanya tular di laman media sosial.

Menurut Osman, sambutan positif itu mendorongnya untuk menambah baik warung demi memastikan keselesaan dan kepuasan pelanggannya.

“Saya menghasilkan replika muncung kapal ini sejak Julai lalu dan idea itu datang spontan. “Saya tidak sangka sejak itu, ramai pelanggan yang datang ke sini. Mereka bukan sahaja dari Selalang tetapi juga luar kawasan ini.

“Berikutan sambutan baik itu, saya mengambil inisiatif menaik taraf warung ini dengan menambah bumbung dan jumlah kerusi meja untuk pelanggan.

MENARIK … Warung kapal Osman di Kampung Selalang

“Tidak sekadar itu, rekaan bahagian dalamnya juga saya buat mengikut kreativiti sendiri,” katanya. Osman memberitahu, pada mulanya dia hanya ingin menambah saiz bahagian hujung warungnya bagi menyediakan lebih keselesaan kepada pelanggannya.

“Ketika itu, saya hanya bercadang untuk membuat reka bentuk biasa. Entah bagaimana, idea saya tibatiba datang untuk membuat hujungnya seperti hujung kapal.

“Replika ini juga mengingatkan saya pada bot untuk menangkap ikan,” katanya. Beliau berkata, sebaik sahaja mendapat idea tersebut, dia berusaha mengumpul lebih 20 batang kayu yang sesuai bagi tujuan berkenaan.

Warung miliknya itu katanya, beroperasi sejak dua tahun lalu dan dibuka kepada orang ramai setiap hari bermula jam 4.00 petang.

“Saya bercadang untuk membesarkan hujung gerai ini ketika musim kekurangan ikan sebulan lalu. “Ketika itu, saya tidak turun ke laut dan kesempatan tersebut saya manfaatkan untuk membesarkan warung bagi menampung pertambahan pelanggan,” ujarnya.

Paling menggembirakan katanya, warung itu menjadi tempat penduduk kampung berkumpul sambil mengeratkan silaturahim.

“Sungai Selalang sebenarnya kaya dengan pelbagai spesies ikan. “Justeru, tidak hairan ramai yang datang ke sini untuk memancing sambil bersantai dan menikmati pelbagai juadah di warung saya,” jelasnya.

KREATIF… Osman dan isteri, Kasma, 44, di hadapan warung unik milik mereka.

Suara Sarawak