Bersatu bukan sebahagian GPS

KUCHING: Parti Bersatu bukan sebahagian daripada GPS, dan pemimpin parti itu harus sedar jangan sembarangan menuntut kerusi serta berhasrat bertanding menggunakan tiket GPS pada PRN-12, tegas Ketua Pemuda PBB Gerald Rentap Jabu.

Adun Layar itu berkata, GPS hanya melibatkan empat parti komponen tempatan iaitu parti PBB, PRS, SUPP dan PDP. Justeru jelasnya, pemimpin Bersatu yang merupakan parti berasaskan Semenanjung perlu akur dengan keputusan presiden mereka, yang juga Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Datuk Zuraida Kamaruddin perlu akur dengan keputusan Presiden Bersatu dan sentimen akar umbi di Sarawak. “Perdana menteri telah menyerahkan tanggungjawab kepada Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg yang juga Pengerusi GPS untuk membuat keputusan mengenai pembahagian kerusi dan calon untuk pilihan raya akan datang.

“Justeru, saya tidak tahu dari mana beliau dapat menuntut kerusi di Sarawak, walhal presiden Bersatu yang juga perdana menteri telah menyerahkan keputusan pembahagian kerusi kepada Abang Johari,” katanya ketika dihubungi Suara Sarawak baru-baru ini.

Tegasnya, Ahli Majlis Tertinggi Bersatu itu perlu memahami kedudukan rakyat Sarawak yang memerlukan lebih banyak kemudahan seperti balai bomba, skim perumahan rakyat dan peruntukan yang lebih baik kepada pihak berkuasa agar Sarawak setara dengan Semenanjung. “Mungkin menteri ini masih tidur.

Janganlah datang ke Bumi Kenyalang dan menuntut sembarangan,” ujarnya lagi.

Terdahulu, Zuraida yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan ketika lawatan ke Sarawak memberitahu, Bersatu akan meletakkan calonnya bertanding dalam PRN-12 dengan menggunakan tiket GPS. Katanya, ia supaya pengundi di Sarawak tidak keliru sama ada memilih Bersatu atau GPS.

Suara Sarawak