YANG di-Pertuan Agong AlSultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah cukup sinonim dengan warga Sarawak, sejak era penghujung 80-an hingga 90-an lagi.
Al-Sultan Abdullah bagaikan sudah ada chemistry dengan penduduk Sarawak, ketika beliau aktif dalam Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP).
Malah Baginda ialah orang yang bertanggungjawab memujuk Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) untuk kembali ke pangkuan FAM, setelah keluar daripada badan induk itu ekoran detik hitam 1989.
Ketika itu, pemain Sarawak protes hebat terhadap mutu pengadilan (Steven Ovinis) ketika perlawanan suku akhir Piala Malaysia 1989 antara Sarawak dengan Kuala Lumpur di Stadium Merdeka.
Ia menyebabkan berlakunya kekecohan dan perbalahan hingga luar padang antara pemain dengan Unit Simpanan Persekutuan (FRU), menyebabkan perlawanan diberhentikan, dan kemenangan berpihak kepada Kuala Lumpur.
Selepas itu, FAS mengambil langkah drastik, keluar daripada FAM.
Namun Al Sultan Abdullah bergegas ke Kuching menemui pihak pengurusan FAS untuk berbincang.
“Kami memendam rasa, jika tidak kerana ‘orang kuat’ FAM (Al Sultan Abdullah), dan demi bola sepak Sarawak… mungkin kami mengambil masa lebih lama untuk kembali semula kepada FAM,” ujar bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS), Allahyarham Datuk Taha Ariffin ketika temu bual eksklusif pada 1997.
Kebetulan ketika itu, Al Sultan Abdullah mempunyai hubungan akrab dengan Allahyarham. Bagi Baginda, adalah satu kerugian besar bagi Sarawak jika keluar daripada FAM, lebih-lebih lagi untuk jangka panjang.
Ia kerana Baginda menyedari potensi bola sepak Sarawak dalam Liga Malaysia ketika itu, bukan sahaja untuk rakyat Bumi Kenyalang, tetapi juga untuk Malaysia secara keseluruhan.
Ketika itu, Taha Ariffin menyatakan bahawa Baginda cukup menyenangi kebangkitan skuad Ngap Sayot 1988 dan 1989 yang dianggapnya sebagai gergasi baharu dalam Liga Malaysia, setelah hanya tampil sebagai pasukan belasahan pada awal kemuculan 1979 hingga awal 80-an.
Jangkaan Baginda tepat, apabila Sarawak muncul juara Piala FA pada 1992, juara Liga Perdana 1997 dan juara Piala Sumbangsih 1998.
Ketika itu, Sarawak diangkat sebagai antara pasukan terkuat bersama Selangor, Pahang, Kedah, Johor dan Singapura.
Malah Sarawak turut melahirkan beberapa pemain untuk pasukan Malaysia seperti Bobby Pian, Affendi Julaihi, Ramos Sari, serta pemain dari Semenanjung yang menyertai pasukan Sarawak seperti Ong Kim Swee, Shamsurin Abdul Rahman, Mazlan Wahid dan Nazry Yunos.
Pada 1997 pula, Al Sultan Abdullah turut memainkan peranan, memilih Sarawak sebagai antara enam venue utama untuk temasya bola sepak Piala Dunia Belia FIFA 1997.
Sebagai Pengerusi Jawatankuasa Penganjur, Baginda tidak teragakagak menyenaraikan Sarawak sebagai lokasi pilihan, selain Pahang, Selangor, Johor, Kedah dan Perlis.
Pemilihan tersebut mengambil kira beberapa kriteria, antaranya kemudahan, serta sokongan rakyat terhadap bola sepak. Ia juga kerana kebangkitan prestasi pasukan di negeri berkenaan.
Bagi Baginda, bola sepak adalah platform perpaduan dalam kalangan masyarakat.
Ketika itu warga Sarawak cukup teruja, menyaksikan pasukan gergasi dunia, seperti Brazil, Argentina dan Perancis ‘menggegar’ gelanggang baharu, Stadium Sarawak yang berdiri megah dengan nilai RM120 juta, mampu menampung 40,000 penonton.
Sepanjang hampir tiga minggu pusingan awal, pusingan kedua dan suku akhir, stadium sentiasa penuh, dan melimpah ke luar stadium ketika perlawanan Brazil-Argentina.
Di situlah permulaan karier, bintang ternama dunia seperti Thierry Henry, David Trezeguet dan Nicholas Anelka, Juan Riquelme, Pablo Aimar, Michael Owen, Marcelo Zalayeta.
Skuad Malaysia ketika itu turut dibarisi anak Sarawak, Gilbert Cassidy Gawing bersama-sama pemain ternama seperti Nafuzi Zain dan Tengku Hazman.
Oleh kerana kecintaan yang cukup mendalam terhadap bola sepak Baginda berjaya membawa Piala Dunia Belia FIFA ke Malaysia.
Ia juga kerana hubungan baiknya dengan anggota FIFA ketika itu, terutama presiden, Jao Havelange dari Brazil.
Baginda sebenarnya bercita-cita mahu Malaysia menjadi tuan rumah kejohanan yang lebih besar Piala Dunia FIFA 2002, tetapi oleh kerana pasukan senior Malaysia gagal di peringkat kelayakan dan berada jauh di ranking FIFA, maka ia tidak tercapai.
Oleh itu, hak penganjur diberikan kepada Korea Selatan dan Jepun, sebagai negara Asia pertama tuan rumah kejohanan terbesar di dunia.
Bayangkan pada 2002 Malaysia menjadi tuan rumah, dan Sarawak sebagai antara gelanggang saingan. Yang pasti, Al Sultan Abdullah cukup dikenali komuniti bola sepak, bukan sahaja di Pahang, Sarawak, dan seluruh Malaysia, tetapi juga di rantau Asia dan dunia.
Baginda cenderung mengamalkan prinsip keterbukaan dan demokrasi dalam memimpin FAM serta menekankan tanggungjawab secara kolektif, diiringi semangat kesukanan tinggi.
Al Sultan Abdullah bukan sahaja dipilih sebagai Presiden FAM (2014-2017), malah sebagai Naib Presiden Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) (2002-2015) dan juga Ahli Jawatankuasa Eksekutif Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) pada 2015 hingga 2019.
Memulakan kepimpinan dalam bola sepak sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) pada 1984, seterusnya Presiden Seumur Hidup PBNP hingga 2005, menjadi naib presiden FAM sebelum perlembagaan FAM dipinda pada 1992 untuk membenarkan dua kerusi timbalan presiden.
Baginda menjadi Timbalan Presiden FAM pada 1992- 2007 dan kembali semula memegang jawatan itu pada 2010-2014 sebelum mengambil alih presiden pada 2014.
Oleh itu, adalah tidak menghairankan rombongan Baginda dalam Kembara Kenali Borneo sepanjang 11 hari mendapat sambutan hangat ribuan rakyat Sarawak dan Sabah, dari desa hingga kota.
“Duduk baik-baik, aman damai dan harmoni semuanya.
Kena sokong kerajaan, senang hendak buat pembangunan dan kemajuan.
Namun, saya tidak mahu cakap politik.
Saya hanya mahu cakap mengenai kasih sayang.
Saya Agong untuk rakyat Sarawak dan Sabah serta semua.
Jadi, perlu untuk kita bersatu hati, bersatu padu.”
Demikian pesanan Baginda ketika singgah di Pantai Bungai, Bekenu dalam siri Kembara Kenali Borneo pada 10 September lalu.
Yang pasti, kembara Agong ke Borneo mempunyai signifikasi tersendiri, bukan sekadar mahu mengenali lebih dekat rakyat berbilang kaum di negeri ini, tetapi juga sebagai tanda ‘bersatu hati’ menyerlahkan ikatan pemimpin tertinggi negara dengan rakyat jelata.
Sebaik Baginda berada di belakang stereng kereta sambil memakai cap yang dipusingkan, yang di depan ke belakang, seolah-olah tiada darjat pemisah, bersalaman sambil menghulurkan sumbangan.
Rakyat pula begitu teruja, gembira sanggup berpanas, berhujan dan beratur panjang sejauh 10 kilometer… sambil melaungkan Daulat Tuanku! Baginda dan keluarga bagaikan selebriti pujaan dunia, disambut meriah dengan pelbagai acara sampingan, tanpa karpet merah.
Ia adalah detik bersejarah bagi rakyat di negeri ini yang berasa sangat dihargai.
“Saya amat terharu dengan kedatangan Baginda dan keluarga… bukan mudah untuk seorang ketua negara sanggup menemui rakyat di pelbagai tempat di negeri ini.
Bagi saya inilah Agong terbaik,” kata salah seorang penduduk warga emas di Sibu.
Manakala seorang pemuda pula berkata; “Kami berharap Agong baharu selepas ini melakukan perkara yang sama… turun ke Sarawak bertemu rakyat berbilang kaum.”
Realitinya Al Sultan Abdullah berada dalam kelas sendiri, pemimpin disegani dalam komuniti bola sepak Malaysia, Asia dan dunia.
Kemuncak Baginda sebagai “payung negara” yang amat disenangi dan disayangi seluruh rakyat, pelbagai peringkat.