KUCHING: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan mengumumkan tindakan terhadap Datuk Ali Biju dalam masa terdekat.
Pengerusi Bersatu Sarawak, Senator Jaziri Alkaf Abdillah Suffian berkata Ali mungkin berdepan tindakan disiplin seperti yang sedia termaktub dalam perlembagaan parti, termasuk keahlian boleh terhenti serta merta.
“Adalah jelas berdasarkan perlembagaan parti, ahli yang melanggar perlembagaan boleh berdepan dengan tindakan disiplin yang tegas, termasuk keahlian boleh terhenti serta merta.
“Oleh itu mana-mana ahli yang bertanding tanpa kebenaran parti termasuk Datuk Ali Biju boleh berdepan tindakan disiplin seperti yang sedia termaktub dalam perlembagaan parti dan pusat akan mengumumkan tindakan dalam masa terdekat,” katanya yang dihubungi, hari ini.
Beliau menegaskan Bersatu Sarawak menyokong penuh keputusan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Majlis Pimpinan Tertinggi yang membuat keputusan untuk tidak bertanding pada Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-12 (PRN-12) ini.
Jaziri menambah Bersatu Sarawak juga akur dengan keputusan parti yang tidak akan teragak-agak mengenakan tindakan tegas terhadap mana-mana ahlinya yang bertanding pada pilihan raya tanpa kebenaran parti.
Justeru, beliau berkata Bersatu Sarawak kekal teguh dan tidak berbelah bahagi terhadap kepimpinan Ketua Menteri yang juga Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Abang Open dalam memastikan kemenangan besar pada PRN-12 yang sedang berlangsung sekarang sekaligus dapat meneruskan kesinambungan kepesatan pembangunan yang telah berjaya dilaksanakan selama ini.
Abang Johari pada sidang media selepas melancarkan Manifesto GPS berkata kecewa dengan tindakan Ali, yang melanggar persetujuan Bersatu untuk tidak bertanding pada PRN-12 Sarawak.
Ia apabila Timbalan Menteri Tenaga dan Sumber Asli itu tampil bertanding sebagai calon Bebas di Dun Krian bagi mempertahankan kerusi yang disandangnya selama dua penggal itu.
Ini sekaligus membawa kepada pertembungan empat penjuru di kerusi yang mempunyai seramai 13,074 pengundi itu.
Selain Ali, Dun Krian turut ditandingi oleh Musa Dinggat daripada Parti Sarawak Bersatu (PSB), calon Parti Bumi Kenyalang (PBK) Danny Kuan dan Friday Belik dari Gabungan Parti Sarawak (GPS).