Bersedia terima suntikan vaksin

SEJAK munculnya Covid-19 yang memberi ancaman kepada nyawa manusia, seluruh dunia ternanti nantikan terhasilnya penawar atau vaksin.

Setelah setahun berperang dengan pandemik ini, akhirnya penduduk dunia lega apabila ‘pelindung’ yang diharapkan akhirnya berjaya dihasilkan.

Malah ia memberi sinar harapan kepada titik permulaan penamatan jangkitan Covid-19.

Namun, sebaik-baiknya vaksin yang dihasilkan, timbul pula perkara negatif mengenainya.

Beberapa pihak, termasuk kalangan bukan sahaja badan bukan kerajaan (NGO) bahkan doktor sendiri telah meremehkan vaksin ini.

Ada yang mengatakan vaksin PfizerBioNTech dan Moderna memberi kesan sampingan tanpa memberi gambaran yang lebih menyeluruh dan menjawab secara khusus kesan sampingan vaksin.

Tindakan sebegini akhirnya meracuni fikiran masyarakat sehinggakan ramai tidak mahu mendapatkan suntikan vaksin kerana tidak yakin dan risau
walaupun sering dilaporkan oleh para pakar bahawa vaksin ini mempunyai kadar berkesan 95 peratus.

Kajian yang paling mutakhir menunjukkan bahawa vaksin Pfizer bukan sekadar mencegah 95 peratus daripada jangkitan Covid-19, tetapi ia juga mencegah penularan virus dengan kadar 75 peratus (kajian Pusat Perubatan Sheba) dan 89 peratus (kajian Kementerian Kesihatan Israel).

Itulah sebabnya Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Sarawak memilih Pfizer untuk diberikan kepada rakyat.

Seharusnya, ketika pandemik ini masih menyerang, kita lebih mengutamakan keselamatan bukan sahaja kepada diri sendiri tetapi setiap orang.

Jika tidak diimunisasi, kita akan terus mudah dijangkiti dan akhirnya, penularan wabak ini tidak akan berhenti.

Oleh itu, setiap kita harus melihat vaksin sebagai sesuatu paling penting ketika ini.

Justeru, keupayaan negara memiliki bekalan vaksin Covid-19 merupakan satu kelebihan yang perlu disyukuri dan tidak boleh dipandang remeh oleh rakyat.

Sebaliknya, setiap rakyat harus melakukan imunisasi apabila mendapat peluang itu tidak lama lagi.

Maka bersama-samalah kita mendaftar dan mendapatkan suntikan vaksin kerana ini adalah perkara paling berharga sekarang.

Usah terpengaruh dengan pertikaian yang diberikan oleh pihak tertentu sebab ini amat merugikan.

Jika vaksinasi berjalan dengan baik dan semua dapat memberi kerjasama, ekonomi juga akan pulih dengan cepat.

Perniagaan dapat beroperasi sepenuhnya dan sektor pelancongan akan bergerak aktif semula.

Paling utama, kehidupan kita akan menjadi lebih baik dan kembali kepada normal.

Suara Sarawak