Bertoleransi tangani masalah rumah tangga

ADA pepatah yang menyatakan bahawa rumah tangga boleh menjadi ‘syurga’ atau sebaliknya. Baru-baru ini, tular di media sosial dan media tradisional, kejadian ngeri, seorang pensyarah wanita dibunuh suaminya.

Menurut siasatan, si suami mencekik leher isterinya dengan tudung sehingga mati sebelum membiarkan isterinya dalam kereta di bawah jambatan. Malah, sang suami berpura-pura mencari isterinya yang dikatakan hilang bersama-sama anak mereka menggunakan e-hailing grab.

Lakonan suami wanita itu gagal apabila pihak polis mencurigai tingkah lakunya dan semua bukti tertumpu kepadanya. Antara bukti yang ditemui polis ialah, sang suami terus ingin menuju ke lokasi wanita itu ditinggalkkan setelah melanggan e-hailing dengan alasan mencari isterinya yang kononnya hilang.

Selain itu, wanita tersebut kononnya dirompak apabila dompet dan telefon bimbitnya hilang, namun pihak polis mencurigai gelang emas di tangan kiri mangsa tidak dirompak. Sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah juga, itulah pepatah yang sesuai untuk lelaki berkenaan.

Malah, siasatan di kediaman mereka, polis menemui surat pengesahan penceraian yang ingin dihantar oleh wanita berkenaan kepada mahkamah. Menurut sumber, pensyarah malang itu ingin meneruskan penceraian mereka kerana suaminya curang dengan wanita lain.

Memang ada kebenarannya, bahawa rumah tangga itu ‘neraka’ dan tidak selalunya ‘syurga’ apabila terbukti kisah dan tragedi yang sungguh menyedihkan berlaku. Curang merupakan punca rumah tangga berubah menjadi neraka dan berlaku pergolakan dalam hubungan suami isteri.

Sebenarnya, sama ada lelaki atau wanita kejadian curang berlaku apabila mereka sukar mengawal diri dan melupakan pegangan agama. Kecurangan seseorang terhadap pasangan hidup mereka boleh membawa kepada perbuatan jenayah seperti penderaan dan pembunuhan.

Ada mangsa yang berani untuk mengambil tindakan seperti pensyarah malang ini, namun tindakannya belum tertunai oleh kerana dibunuh dengan kejam. Sang suami sanggup membunuh isteri mungkin untuk menjaga imej, maruah atau perkara lain yang sedang disembunyikan.

Tindakan di luar kawalan memyebabkan suami bertindak ganas dan mencabut nyawa isterinya sendiri sungguh tidak adil bagi wanita itu. Meskipun ramai netizen mengecam tindakan lelaki tersebut, wanita itu telah pun pergi buat selama-lamanya meninggalkan anak mereka yang berusia 14 tahun.

Pepatah berkata, bertepuk sebelah tangan tidak akan berbunyi. Banyak kes kecurangan berlaku dalam hubungan suami isteri adalah berpunca daripada kedua-dua belah pihak. Kita tidak boleh terus menghukum salah satu pihak sahaja, namun perbuatan jenayah membunuh haruslah diadili sebaik-baiknya.

Ia bagi memberi pengajaran kepada orang lain tentang akibat menutup nafas orang lain terutamanya orang yang paling dekat dengan kita, yang kita percaya dan pendamping setia. Banyak lagi kes curang dalam hubungan yang kita tidak tahu oleh kerana tidak dihebahkan kepada orang lain demi menjaga maruah atau berasa malu.

Tidak ramai juga orang yang dicurangi sanggup mengambil tindakan seperti wanita ini atas beberapa faktor seperti keselamatan, kewangan, hak menjaga anak dan sebagainya. Sebagai individu yang telah berjanji untuk sehidup semati tepuk dada tanyalah selera masing-masing sama ada ingin meneruskan hubungan yang sah atau telarang.

Namun, perkara yang paling penting ialah jangan melakukan jenayah sehingga menyebabkan kematian kepada orang lain bagi menutup kesalahan diri sendiri.

Jika penceraian adalah langkah yang paling wajar untuk mendamaikan hubungan maka terimalah keadaan tersebut dengan hati terbuka. Mungkin wanita tersebut tidak pernah terfikir yang suaminya sanggup mengambil tindakan sejauh itu.

Jadikan peristiwa ngeri ini sebagai iktibar dan pengajaran. Yang pasti, tindakan di luar kewarasan hanya akan merugikan diri sendiri dan orang lain.

Malah bagi pelaku, ia adalah satu penyesalan yang akan menghantuinya seumur hidup. Jadilah pasangan suami isteri yang bertoleransi, saling memahami, dan bijak dalam membuat sebarang keputusan, bukannya hanya mengikut nafsu amarah yang tidak akan menguntungkan sesiapa.

Suara Sarawak