DUA hari lalu saya sempat berbincang dengan seorang guru besar sebuah sekolah rendah di bandar raya Kuching. Guru itu mengakui daripada sekitar 60 orang guru di sekolahnya, sekitar 30 peratus sahaja fasih dalam bahasa Inggeris.

Daripada sepuluh orang guru mata pelajaran Sains dan Matematik, katanya, lima orang yang fasih menggunakan bahasa itu.

Beliau mengimbas bagaimana dalam kursus yang dihadiri, ketika guru dikehendaki menyampaikan pembentangan dalam bahasa Inggeris, ada ketikanya, ia amat melucukan.

“Mengapa, keadaan menjadi lucu,” saya tanya guru besar berusia dalam lingkungan 40-an itu.

“Mana tidak lucu, ada yang memang tak pandai langsung mengungkapkan diri dalam bahasa itu. Itu belum lagi mengambil kira aspek tatabahasa yang tunggang-langgang. Malah,ada yang menggunakan sebutan yang salah,” jelas beliau.

Namun katanya, memang itu cara terbaik untuk belajar, dan seseorang tidak wajar berasa malu, segan dan takut meskipun bagi sebahagian orang berucap dalam bahasa Inggeris di hadapan ramai begitu traumatik dan menggerunkan.

Kami sebenarnya bercakap dalam konteks usaha Kerajaan Sarawak melaksanakan pembelajaran subjek Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris di sekolah rendah mulai tahun depan.

Sarawak akan menjadi negeri pertama menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar untuk mata pelajaran itu bermula dengan murid Tahun Satu di 1,265 sekolah rendah di seluruh negeri kecuali sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC).

Beliau menyambut baik langkah itu sebagai strategi jangka panjang untuk memastikan pelajar dapat menguasai bahasa penting dunia itu meskipun menyedari cabaran yang bakal dihadapi oleh guru dan muridnya.

Lingkungan Bahasa

Sesungguhnya, perlu ada kesungguhan untuk menguasai dan mempelajari bahasa itu.

Bagi mereka yang terdidik sepenuhnya dalam bahasa itu, dan juga membesar dalam lingkungan bahasa berkenaan dalam keluarga, tentu tidak begitu faham cabaran dan kekangan yang dihadapi oleh murid dan guru terbabit. Kita tidak lagi dapat menunggu sehingga penguasaan bahasa Inggeris pelajar dan rakyat terus merosot.

Ini bahasa masa depan dan bahasa global yang digunakan sebagai bahasa kedua di 146 negara. Daripada 7.5 bilion warga dunia, 1.5 bilion bercakap dalam bahasa Inggeris, iaitu 20 peratus daripada manusia di planet Bumi.

Namun, hanya 360 juta orang yang menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pertama. Sekitar seminggu lalu di Sibu, Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Sarawak Datuk Seri Michael Manyin Jawong menggesa para guru supaya tidak terlalu risaukan kesalahan apabila bertutur dalam bahasa Inggeris, malah disaran agar mencuba yang terbaik.

“Jangan risaukan tentang tatabahasa, bahasa Inggeris yang sempurna, bertuturlah dalam bahasa Inggeris Sarawak. Dari situlah kita perlu bermula. ‘Gasak ajak’. Mulakan sehingga ada yang menegur kesilapan dan dari situ kita akan beransur-ansur bercakap dalam bahasa Inggeris yang betul,” katanya.

Beliau berkata demikian sambil menerima tepukan gemuruh daripada lebih 600 guru yang hadir pada Simposium Pendidikan Bahasa Inggeris Sarawak 2019.

Sudah pasti kebanyakan daripada guru berkenaan tidak yakin, malu malah takut untuk membuat kesilapan kerana ada pelajar yang mahir bertutur dalam bahasa Inggeris khususnya mereka yang datang daripada keluarga kelas atasan dan pertengahan.

Bagi sebahagian pelajar dari bandar dan mereka daripada keluarga kelas atas dan menengah atas, penggunaan bahasa Inggeris bukan sesuatu yang asing.

Bagi golongan ini, mereka tentu dapat mengesan kesilapan bahasa yang dilakukan oleh guru mereka. Dalam menangani isu ini, guru perlu diberi bantuan, dorongan dan kemudahan bagi memastikan program ini tidak menemui kegagalan. Kita tidak boleh kecundang kerana kesan dan implikasinya amat besar.

Itulah sebabnya, Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg sanggup membelanjakan dana berjumlah RM9 juta untuk memperkenalkan program penggunaan bahasa Inggeris dan RM30 juta lagi untuk pengajaran Matematik dan Sains dalam bahasa tersebut.

Prestasi Malaysia dalam Program Penilaian Pelajar (PISA) untuk tiga domain, iaitu Sains, Matematik dan Membaca telah meningkat pada 2015. Untuk kecelikan Sains, Malaysia mencatat 431 mata, meningkat 33 mata berbanding PISA 2012.

Matematik pula mencatat 446 mata, meningkat 21 mata. Bagi kecelikan saintifik, 66.4 peratus pelajar Malaysia mencecah garis asas. Kita tentu mahu menyaksikan peningkatan terus berlaku dari segi prestasi berkenaan.

Kaedah Terbaik

Menguasai bahasa Inggeris dengan cekap memerlukan latihan yang intensif dan tekal. Guru perlu digalakkan untuk membaca, menulis dan bertutur dalam bahasa itu. Perbincangan tentang teknik dan kaedah terbaik menguasainya juga perlu diadakan. Jika tidak, ada kemungkinan guru akan mencari jalan singkat dengan menggunakan bahasa Malaysia untuk memberi penjelasan.

Kalau tidak pun mereka akan sekadar membaca slaid dalam bahasa Inggeris. Kesudahannya, penjelasan dan ilmu tidak difahami oleh murid. Dan, yang menerima padah ialah generasi masa depan dan negara. Jangan mudah menyerah kalah dalam misi penting ini.

Kita mendambakan guru yang mahir dalam subjek yang diajar, mahir dalam bahasa pengantar, dan mahir dalam teknik pengajaran-pembelajaran, serta bijak memberi motivasi kepada murid yang diajar. Bilik darjah yang hidup dan ceria memungkinkan pembelajaran yang berkesan.

Jadi, tidak usahlah takut dan bimbang. Juga, jangan gunakan pendekatan gasak ajak dalam konteks pengajaran subjek Sains dan Matematik. Kalau tidak, kita akan kena gasak.

Suara Sarawak