Beruang mengembara 644 km demi ‘cinta’

SEEKOR beruang hitam bernama Bruno tular di laman sosial selepas melakukan perjalanan merentas negeri demi mencari ‘cinta’.

Bruno dilaporkan memulakan pengembaraan ketika musim panas di Wosconsin pada Jun lalu dan mengembara lebih 644 kilometer melalui Illinois, Lowa dan Mossouri, yang dipercayai untuk mencari pasangan.

Peminat yang mengikuti perkembangan beruang itu menubuhkan kumpulan Keeping Bruno Safe di Facebook sejak 19 Jun dan kini memiliki 46,000 pengikut yang berkongsi perjalanan haiwan itu.

Mengutip USA Today, Jabatan Sumber Asli Illinois berkata Jabatan Sheriff Pike County (Illinois) dan IDNR membantu beruang itu melintas jalan raya yang sibuk dan lebuh raya antara negeri, dengan menyekat lalu lintas.

Ketika sambutan Hari Bapa di barat laut Henderson Countyin Illinois, lebih 300 orang yang berhimpun dikatakan memerhati, mengejar serta menggangu beruang itu.

“Sudah tentu beruang itu semakin tertekan dan mungkin kita melihat hasil yang buruk,” kata Laura Petreikis dari Polis Konservasi Illinois, dalam satu kenyataan.

“Seperti biasa, kami ingin memastikan keselamatan orang awam dan haiwan.

Jika situasi seperti yang dilihat pada hujung minggu yang lalu terus berlaku, polis konservasi akan mengeluarkan saman dan melakukan tangkapan.

“Usaha ini untuk memastikan keselamatan orang awam dan beruang terjamin,” tambahnya.

Dilaporkan, kali terakhir Bruno dilihat ketika berada di St Charles Country, Missouri selepas menyeberangi Sungai Mississippi dari Illinois selatan pada 30 Jun lalu.

Suara Sarawak