
BETONG: Bahagian Betong mampu menjadi lubuk melahirkan bakat baharu sukan bola sepak pada masa akan datang.
Ia dengan mengambil kira penganjuran Liga Betong 2022 dan Piala Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas 2022 yang dilihat sebagai landasan terbaik merealisasi impian tersebut.
Adun Saribas, Mohamad Razi Sitam berkata, dengan penglibatan para pemain daripada pelbagai pasukan yang bertanding, tidak mustahil ada permata baharu yang dikenal pasti dan dapat dibawa ke peringkat lebih tinggi.
“Lebih dua tahun tiada sebarang penganjuran acara sukan termasuk pertandingan bola sepak, saya percaya adanya liga ini akan menjadi titik tolak untuk melihat kemunculan ramai bakat baharu dalam sukan bola sepak,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap mewakili Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggas Embas pada Majlis Perasmian Liga Betong 2022 di Kompleks Sukan Betong, sebentar tadi
Sebanyak 11 pasukan beradu nasib bagi memburu gelaran juara edisi kali ini dengan dibahagi kepada dua kumpulan.
Kumpulan A terdiri daripada Freelance FC, Krian United, Saribas United, Jang BS, Saratok FA dan Semarang Village United.
Manakala, Belia Pusa FC, GMP FC, Hermanos FC, Skyline dan Loy 69 Mangut dalam Kumpulan B.
Empat pasukan daripada setiap kumpulan akan beraksi bagi merebut Piala Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.
