Betong, Marudi dan Song turut diarah SJR

KUCHING: Sebanyak 46 buah kenderaan diarahkan berpatah balik selepas gagal menunjukkan sebarang permit sah rentas daerah ketika melalui Sekatan Jalan Raya (SJR).
Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Aidi Ismail berkata, jumlah tersebut hasil pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Zon Kuching, Miri dan Sibu bagi tempoh 24 jam bermula jam 12 malam, semalam.
“Setakat tempoh 24 jam bermula semalam, sebanyak 2,236 kenderaan telah diperiksa hasil SJR yang dijalankan di seluruh negeri.
“Manakala bagi jumlah permit rentas daerah, sebanyak 3,205 jumlah permohonan diluluskan,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Tambahnya, tiga daerah merangkumi Marudi, Song dan Betong turut dilaksanakan SJR atas permintaan Jawatankuasa Bencana Daerah, sekali gus menjadikan SJR di seluruh negeri Sarawak berjumlah 15.
Aidi pada masa sama turut mendedahkan bilangan petugas yang terdiri daripada PDRM, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan lain-lain agensi yang terlibat SJR ditingkatkan kepada 328 orang.