BETONG: Betong dan Sri Aman bakal menjadi lokasi penganjuran Sukan Malaysia (Sukma) tahun hadapan, masing-masing bagi acara angkat berat dan tinju.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, pemilihan tempat penganjuran Sukma bergantung kepada banyak faktor.

“Salah satunya memiliki fasiliti sukan dan tempat penginapan atlet yang mencapai tahap sukan bertaraf kebangsaan.
“Setakat ini Betong dicadangkan sebagai tempat penganjuran sukan angkat berat, selain ada satu lagi acara lain. Manakala acara tinju akan diadakan di Sri Aman,” katanya.
Presiden Persatuan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (Saberkas) itu berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Pelancaran Jerayawara Bubur Lambuk Saberkas Peringkat Negeri 2023 di Masjid al-Muhtadin dekat sini, hari ini.
Setiausaha Agung Saberkas Safiee Ahmad, Adun Tanjung Datu merangkap Exco Saberkas Negeri Azizul Annuar Adenan, Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak merangkap Naib Presiden Saberkas Abang Abdul Aziz Abang Draup, Adun Kalaka Mohamad Duri, Adun Krian Friday Belik, Setiausaha Eksekutif Saberkas Iszuan Haroni dan Pengerusi Saberkas Cawangan Kalaka Abadi Hussein turut hadir sama.
Sebelum ini kerajaan telah memuktamadkan Sarawak sebagai tuan rumah Sukma edisi ke-21, selepas kali terakhir menjadi penganjur pada 2016.