KUCHING: Empat lelaki menghadapi detik cemas apabila kereta Bezza yang dinaiki mereka terbabas ke dalam parit lalu terbalik di Jalan Batu Kitang, Batu 8 1/2, di sini, awal pagi tadi.
Kejadian yang berlaku sekitar jam 12.22 tengah malam itu dipercayai berpunca setelah pemandu gagal mengawal kenderaanya lalu hilang kawalan sebelum terbabas ke dalam parit bersebelahan jalan raya terbabit.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, pihaknya ada menerima laporan dan telah mengerahkan sepasukan anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat Batu Lintang ke lokasi kejadian.
Menurutnya, kesemua mangsa warga tempatan itu berusia lingkungan 15 hingga 25 tahun.
“Setibanya di lokasi pasukan menjalankan operasi menyelamat untuk mengeluarkan seorang mangsa (pemandu) yang masih tersepit manakala tiga lagi mangsa berjaya keluar daripada kenderaan dengan sendiri.
“Sejurus kemudian kesemua mangsa dihantar ke Hospital Umum Sarawak untuk tindakan rawatan lanjut, ” jelasnya dalam satu kenyataan, hari ini.
Tambahnya, seramai lapan anggota BBP diketuai PBK II KUP Awang Junainie bersama dua lagi anggota polis terlibat dalam operasi terbabit.
Ujarnya, operasi menyelamat seterusnya ditamatkan pada jam 12.58 pagi setelah memastikan keadaan selamat dan terkawal.
Dalam pada itu, Ketua Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Supt Alexson Naga Chabu ketika dihubungi mengesahkan pihaknya masih belum menerima laporan berhubung insiden.