ARTIKEL

Biar pihak berkuasa tangani tragedi FDS

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

I NSIDEN pesawat helikopter B10-150B yang menyediakan Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) terhempas di Long Lellang, Ulu Baram pada Selasa lalu mewarnai berita sepanjang minggu yang lalu.

Ia menenggelami episod jerebu yang bertahan beberapa minggu sebagai topik utama.

Saya merupakan antara wartawan yang ditugaskan Astro Awani untuk membuat liputan ini.

Dan, telah terbang ke Miri pada keesokan harinya.

Sudah tentunya, sebagai wartawan lapangan, kami mendapat banyak sekali maklumat.

Namun terpaksa menapis apa yang boleh dikongsikan dan apa yang begitu sensitif, yang hanya untuk pandangan kami sahaja kerana berpegang kepada etika kewartawanan.

Namun di media sosial, hukuman telah “segera dijatuhkan” kepada pelbagai pihak sebaik sahaja helikopter tersebut dilaporkan terhempas.

Pasukan penyiasat belum “turun padang”, namun sudah ada yang mengatakan helikopter itu berusia tua dan sebagainya.

Mereka juga menghukum pemimpin dan kerajaan yang membenarkan perkhidmatan ini dengan nilai kontrak yang kecil, elaun yang tidak setimpal dan lain-lain lagi.

Malah gagal menyediakan jalan yang selamat, tanpa mempedulikan keadaan geografi Sarawak.

Lebih busuk, ada yang mengaitkan insiden ini dengan parti politik dan kelalaian pemimpin.

Kurang 24 jam pesawat nahas, sudah ada ketirisan maklumat dan dokumen yang seharusnya menjadi rahsia kerajaan.

Komen-komen netizen pula mendesak kalangan wartawan untuk menghampiri keluarga, mendapatkan kisah dan lain-lain, walhal mereka sedang bersedih, bermurung dan tidak pasti apa yang sedang berlaku.

Bukan mudah sebenarnya untuk membuat liputan seperti ini.

Selain memberi maklumat kepada orang ramai, kami turut perlu menjaga sensitiviti banyak pihak.

Apatah lagi bagi ahli keluarga yang masih terkejut dan bingung dengan apa yang berlaku.

Namun bagi kami, yang penting adalah maklumat yang tepat, sah dan tidak mengelirukan.

Kami mendapat maklumat apa yang berlaku di “ground zero” namun, kami perlu mendapatkan pengesahan daripada pihak berautoriti sebelum menyiarkannya.

Dalam konteks ini, jika bukan menteri yang berkaitan, individu yang bertanggungjawab ialah komander operasi, Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohamad Zainal Abdullah.

Beliau mengendalikan kes ini dengan cukup teratur dan profesional.

Malah begitu sabar melayan kerenah kami, dan memberikan maklumat yang diperlukan.

Kepada kami wartawan, beliau membalas satu persatu pertanyaan dengan sabar dan munasabah – termasuk wartawan yang tidak dikenali.

Beliau cekap mengumpul maklumat awal – rahsia yang menjadikan beliau teratur ketika menjawab semua soalan, terutama ketika sidang media pertama – lebih 24 jam selepas tragedi.

Jawapan profesionalnya kenapa lewat berkongsi maklumat — perlu memaklumkan keluarga terlebih dahulu.

Dan, Kementerian Kesihatan Malaysia juga bertindak cekap apabila segera menjemput ahli keluarga mangsa (tanpa had) — di pelbagai negeri dan di Miri — sebelum menempatkan mereka di sebuah hotel yang berdekatan dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Miri, untuk urusan komunikasi dan memudahkan proses kaunseling.

Ia juga untuk mengelakkan mereka tertekan dikejar wartawan dan ditularkan wartawan media sosial.

Setelah itu beberapa ahli keluarga juga diterbangkan bersama-sama pihak forensik ke lokasi kejadian bagi membantu mengenal pasti mangsa, daripada barangan peribadi yang ada, kerana mangsa kebanyakannya rentung.

Akhirnya, semua proses dapat berlaku dengan teraturnya, dengan jasad mangsa segera diterbangkan ke Unit Forensik Hospital Miri untuk bedah siasat, sejurus proses siasatan lapangan selesai, manakala bangkai pesawat dibawa menggunakan kenderaan pacuan empat roda, dan terpaksa melalui 10 jam perjalanan beberapa hari kemudiannya.

Pihak berkuasa kemudiannya mengesahkan punca kematian kerana melecur teruk.

Tetapi cara netizen mengasak pihak syarikat dan kerajaan berkaitan penggunaan helikopter tersebut bagaikan tidak adil.

Malah pesawat ini dibandingkan dengan helikopter yang digunakan oleh pembesar negara.

Harus diingat, helikopter B10- 105S buatan Jerman itu adalah antara yang terlasak dan harganya bersesuaian.

Ia juga pernah digunakan oleh para pembesar di Sarawak untuk berkunjung ke pelbagai daerah pedalaman.

Helikopter jenis ini memang sesuai untuk urusan kesihatan di pedalaman kerana ia kecil, tidak menelan kos yang besar dari segi operasi dan yang paling penting, memiliki ruang untuk membawa pesakit dan mudah dikendalikan.

Helikopter ini malah digunakan bukan sahaja di pedalaman Sarawak malah di Sabah, Pahang dan Kelantan.

Justeru untuk mengatakan penggunaan helikopter ini sebagai satu langkah ketinggalan adalah tidak adil.

Sudah begitu banyak nyawa diselamatkan oleh helikopter ini baik membawa pesakit secara medivac, mahupun membawa doktor ke pintu rumah pesakit dan klinik yang jauh.

Jika tanpa helikopter ini, sudah pasti mangsa akan terpaksa melewati perjalanan darat berjam-jam lamanya.

Malah terpaksa tidur di perkampungan. Sebaliknya, mengguna helikopter akan mempercepat kemudahan kesihatan dan meluaskan jangkauan.

FDS di Sarawak terbang ke 97 lokaliti (atau berkurang) ketika ini.

Malah telah dicadangkan untuk digunakan bagi melaksanakan kesihatan pergigian sekali gus.

Kenapa pesawat ini lebih sesuai berbanding pesawat yang lebih besar?

Kerana ia boleh bergerak dengan mudah, manakala bilah rotornya lebih kecil seperti juga pesawat helikopter jenis Bell.

Saya pernah menaiki Eurocopter ketika mengikuti imbalan Perdana Menteri ke pedalaman Baram.

Dan, ketika mendarat, bukan sahaja angin kuatnya menyebabkan reban ayam terpelanting, malah tayarnya hampir tenggelam di padang, kerana badan yang begitu berat.

FDS tidak boleh terlalu lama dihentikan.

Ia harus diaktifkan semula selepas siasatan Biro Siasatan Kemalangan Udara selesai.

Menggunakan pesawat agensi lain, baik atas nama strategi lautan biru, mahupun apa sahaja, bukan langkah yang tepat untuk selama-lamanya.

Sebab mereka memiliki tugas yang perlu difokuskan secara hakiki demi keselamatan negara.

Usah kerana satu kemalangan, khidmat FDS ini dihukum, kerana masyarakat luar bandar amat memerlukannya.

Tanpa penerbangan ini, masyarakat pedalaman tidak akan mendapat layanan yang adil, terutama mereka yang perlu segera ke hospital.

Mungkin juga sebabnya alami, mungkin juga kerana masalah lain yang kita tidak ketahui kerana ia tidak ada kotak hitam dan menara kawalan tidak menerima sebarang panggilan kecemasan.

Ini antara perkara yang boleh menjadi penambahbaikan dan disediakan untuk semua pesawat selepas siasatan tamat kelak.

Sama-sama kita mengambil iktibar daripada tragedi ini.

Dan, sama-sama kita berdoa agar ia tidak berulang.

Dan, samasama berjeda dan bertenang, membiarkan pihak berkuasa menjalankan tugas mereka, tanpa dibebani teori dan hipotesis kita yang cacamerba.

BERITA LAIN

Guru Juara Moonton berpotensi diperluas ke Sarawak

KUCHING: Program Guru Juara Moonton yang diperkenalkan di Selangor berpotensi diperluas ke negeri ini menerusi kerjasama dengan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sarawak. Ketua Penerbitan, Pembangunan

BERITA TERBARU