SEPERTI di negara lain, bola sepak merupakan sukan nombor satu.

Ia menjadi tumpuan kerana melalui sukan inilah segala tekanan terburai.

Sukan inilah yang menyatukan rakyat negeri ini, tidak kira apa jua pegangan ideologi, latar belakang dan jantina.

Kita tidak lupa era Ngap Sayot, Sarawak digeruni bukan sahaja kerana kehebatannya di gelanggang, tetapi kerana kesatuan dan perpaduan pemainnya.

Anehnya, pada era penghujung 1980-an itu, Sarawak bukan dipimpin oleh jurulatih profesional pun.

Awang Mahyan Pengiran Mohamad, yang digelar jurulatih flamboyan hanyalah bekas pemain negeri yang dikenali kerana garang dan ‘cakap besar’. Dan ‘cakap besar’ itulah yang membawanya ke gelanggang kejurulatihan, selepas kecewa dengan pencapaian Allahyarham Mohamed Che Su, ketika itu.

Mahyan tidak ada pemain bertaraf bintang. Tidak ada modul kejurulatihan yang hebat pun. Beliau menghimpun pemain anak tempatan dari pelbagai latar belakang, kebanyakannya pekerja am rendah dan dilatih bermain dengan persefahaman dan semangat yang kental.

Anehnya, pasukan ini menjadi kuat.

Anak kampung dengan semangat Sarawak yang tinggi, mampu menyediakan asakan yang hebat ke kubu lawan. Apabila bergaduh, seluruh padang menghayun tumbukan, mengeluarkan sepak terajang. Inilah hiburan peminat bola sepak dahulu.

Melihat semangat setia kawan dalam kalangan pemain. Maka di sinilah nama-nama seperti Roslan Ismail, Affendi Jol, Roslan Mustapha, Abdul Jalil Ramli, Abu Bakar Amran, malah Herman Bulang dan Pengiran Bala menghiasi dada akhbar.

Skuad kampung ini malah sehingga berjaya ke separuh akhir Piala Malaysia 1988 dan menjadi kegerunan skuad gergasi seperti Singapura, Selangor, Kedah dan Kuala Lumpur.

Percayalah, ketika itu nama-nama seperti Fandi Ahmad, Ahmad Yusof, Dollah Salleh dan Zainal Abidin Hassan cukup gerun bertandang ke Stadium Negeri.

Kemudian masuk era Alan Vest sebagai jurulatih serta pengurus.

Melaluinya, Sarawak mula mencipta kejuaraan.

Dengan pemain import, si badang John Hunter, si cilik Jeff Curran dan si tinggi lampai David Evans, dan Alistair Edward.

Sarawak menjadi antara pasukan pencabar digeruni, hingga berjaya merangkul Piala FA 1992, Piala Liga Perdana 1997 dan Piala Sumbangsih 1998.

Beberapa pemain Sarawak diintai skuad kebangsaan.

Era itu adalah nostalgia.

Yang membuktikan betapa skuad Sarawak mampu untuk bergelar juara dan jaguh.

Namun era tersebut ada kesannya.

Persatuan mengalami defisit perbelanjaan jutaan ringgit. Hari ini, Sarawak berada di kedudukan paling teruk dalam sejarah bola sepak nasional. Bermain di Liga Premier, namun terperosok sebagai antara pasukan tercorot. Sesuatu perlu dilakukan untuk mengubah situasi ini.

Presiden FAS, Datuk Posa Majais mengakui tugas itu tidak mudah. Posa pernah mendedahkan penyelewengan hampir RM100 juta yang menghambat persatuan itu. Ia diteruskan pula dengan skandal kewangan, melibatkan bekas Setiausaha Agungnya. Terkini wujud desakan ahli gabungan agar Posa pula melepas jawatan. Tetapi Posa benar tentang satu perkara.

Meletak jawatan boleh. Senang. Namun siapa yang akan menanggung pasukan tersebut waktunya berduka. Posa sendiri secara terpaksa memikul beban itu setelah sekian lama bahtera FAS tanpa nakhoda.

Berbelanja RM5 juta duit sendiri untuk FAS bukan palsu. Ia nyata kerana terlalu banyak kos ditanggung. Perbelanjaan skuad bola sepak Sarawak sehingga RM10 juta setahun.

Mencari penaja hanya enak di mulut, tetapi bukan secara realiti. Sanggupkah yang mencabar memikul beban ini? Biar setegas mana Posa, biar kedekut mana sekali pun, beliau adalah insan yang sanggup berhabisan bagi sukan nombor satu negara itu.

Usah diganggu komitmen beliau itu. Biarlah beliau mencatur pasukan. Kalah dahulu menang kemudian. Asalkan kita sebagai peminat sukan bola sepak Sarawak tidak terlopong dan ternganga.