Bidar 8 Lukut Piala GPS 31 Ogos

MUKAH: Pertandingan Bidar 8 Lukut Piala GPS (N57 Tellian) akan diadakan pada 31 Ogos ini di Litar Alan Rossi Sungai Kampung Tellian, di sini.

Ia adalah anjuran Kelab Tellian Dagen Daya (Tujunokala).

Menurut Pengerusi Pengelola Program Simon Tai, pertandingan tersebut sempena Bulan Kemerdekaan pada 31 Ogos.

“Ia bertujuan menghidupkan sukan tradisi yang semakin diminati ramai, di samping menggalak warga tempat aktif dalam kegiatan berfaedah.

“Pertandingan ini juga memainkan peranan untuk mengukuhkan perpaduan dalam kalangan peserta mahupun penduduk kampung,” katanya.

Ia terbuka kepada semua pemilik perahu lukut dan terhad kepada 240 penyertaan awal.

Peserta boleh mendaftar lebih sebuah perahu dengan syarat nama perahu hendaklah berbeza dan tidak menyinggung sensitiviti mana-mana pihak.

Tarikh tutup penyertaan ialah pada 23 Ogos, jam 5 petang, manakala cabutan undi termasuk taklimat akan diadakaan pada 25 Ogos di Dewan Wakaf Tellian Ulu.

Antara syarat pertandingan ialah besi pemula mestilah diletakkan di atas tutup perahu dan tidak boleh lebih daripada dua inci daripada hujung tutup yang dibekalkan sendiri oleh peserta.

Perahu hendaklah tidak melebihi 12 kaki dan pertandingan ini hanya untuk lapan lukut dan kebawah sahaja untuk satu litar.

Cochrane Jenari @ Alan Ross

Hujung hulu daun lukut hanya boleh ditambah sepanjang lima inci dengan menggunakan kayu atau bahan lain.

Ia mesti mempunyai tanda 1, 2, 3, 4, 5 dalam inci, manakala layar yang digunakan mestilah daut lukut yang asli dan tidak boleh ditambah atau ditampal dengan daun lukut yang lain.

Nama perahu lukut hendaklah berbentuk kekal dan pelekat tidak boleh digunakan pada perahu, selain sistem winnerpool dan loserpool akan digunakan termasuk kalah mati akan digunakan pada pusingan kedua.

Yuran penyertaan ialah RM23.

Selaku penganjur lokasi Cochrane Jenari @ Alan Rossi,43, menjelaskan pemilihan lokasi litar bidar cukup strategik kerana ia sering diadakan.

“Perlumbaan bidar lukut memang selalu diadakan di sini. Ia turut diadakan berdekatan Chapel St Anthony Mukah.

“Oleh itu, saya berterima kasih kepada pihak penganjur kerana memilih lokasi tepat untuk kejohanan ini,” katanya.

Untuk keterangan lanjut sila hubungi Alan di talian 014-8876989 dan Rostel di 013-8071036.