Bidar lukut lumba perahu tradisi Sungai Tellian

MUKAH: Permainan bidar lukut semakin popular dan mendapat sambutan setiap kampung malah menjadi sukan air baharu yang mengocakkan Sungai Tellian.

Selain di Kampung Tellian Ulu hingga ke Judan, permainan bidar lukut ini turut dijadikan aktiviti mengisi masa lapang penduduk kampung lain.

Menariknya, sungai Kampung Tellian sentiasa berkocak dan meriah dengan kedatangan pengunjung untuk menyaksikan perlumbaan bidar lukut.

Sejak 50 tahun lepas, bermain bidar lukut dianggap satu hobi namun kini ia sudah menjangkau zaman dan dijadikan sebagai sukan air baharu.

Pembuat bidar lukut pula bersaing menunjukkan bakat dan kemahiran masing-masing dengan menyediakan
bidar lukut paling kreatif.

Jocklin Belalan 57, peminat bidar lukut berkongsi keseronokannya terhadap permainan itu kerana tanpa hadiah pun, mereka tetap menjadikan ia satu sukan air.

Katanya, bidar itu direka sepanjang berukuran kira-kira satu meter panjang, 19 sentimeter lebar dan setinggi 8 sentimeter sebenarnya berbentuk replika perahu.

“Bidar bermaksud perahu dan lukut pula sejenis tumbuhan pada batang dan dahan.

“Kedua-duanya ada hubung kait yang sangat rapat dengan Sungai Tellian. Ada juga penduduk menjadikan ia sebagai hiasan di rumah,” katanya kepada Suara Sarawak.

Jelasnya, bidar lukut menggunakan kuasa angin untuk bergerak dan semakin kencang angin bertiup
semakin laju bidar itu bergerak.

“Tetapi bidar bergerak dibantu oleh lukut kerana tanpa lukut takkan bergerak bidar berkenaan,” katanya.

Pada bulan November lepas, Kelab Rekreasi Tellian Dagen Daya (Tujunokala) telah memasukkan perlumbaan ini dalam acara tahunan.

Acara perlumbaan bidar lukut mempunyai potensi tinggi untuk dijadikan tarikan baharu pengunjung ke Kampung Tellian Ulu di sini.