Bidar Lukut tetap belayar

MUKAH: Meskipun pandemik Covid-19 terus menjadi cabaran buat semua, ia tidak mematahkan semangat Kelab Sukan dan Rekreasi Dagen Daya (Tujunokala) melakukan proses naik taraf kawasan pentas utama untuk sukan tradisional Bidar Lukut di Kampung Tellian Daya kini.

Tujunokala tetap mematuhi garis panduan SOP yang ditetapkan agar perkara yang tidak diingini berlaku.

Adun Tellian Yusibnosh Balo turut sama menyumbangkan peruntukan bagi memastikan pentas berkenaan diperbaiki dari segi keperluan infrastruktur.

Sukan Bidar Lukut merupakan satu-satunya sukan tradisi rakyat Melanau yang unik di Mukah.

“Pada suatu masa dahulu, sukan ini hanya dibuat pada musim tengkujuh ketika angin bertiup kencang.

“Namun kini, ia diberi nafas baharu dengan diadakan di sungai berlitarkan botol plastik atau buluh untuk mengawal pergerakan Bidar Lukut.

“Justeru, saya berharap sukan ini terus berkekalan dan peminatnya bertambah kerana ia memerlukan kreativiti pemilik bidar selain boleh dibuat sebagai cenderamata,” ujarnya lagi.

Yusibnosh turut berharap Tujunokala dapat meningkatkan minat generasi muda dan generasi berusia dalam bidang sukan yang unik ini.

Sementara itu, Setiausaha Tujunokala Simon Thai menghargai sumbangan yang diberikan oleh wakil rakyat Tellian itu bagi memastikan sukan ini tidak dilupakan.

Beliau juga berharap Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) dan agensi kerajaan yang lain melihat sukan ini sebagai potensi tarikan pelancongan utama di Bahagian Mukah dan Sarawak secara amnya.

“Tujunokala bersedia memberi kerjasama kepada mana-mana pihak dalam usaha ini.

“Kita juga berharap sukan ini dimasukkan ke dalam kalendar pelancongan Sarawak sebagai salah satu sukan tradisional negeri ini,” jelasnya.

Mengulas mengenai kerja naik taraf tersebut, Simon berkata ada beberapa penambahbaikan di pentas utama Bidar Lukut.

“Terima kasih kepada semua pihak terutama Tujunokala dan semua penduduk kampung yang bekerjasama membantu memastikan sukan ini siap dibangunkan dengan atap baharu dan kelengkapan infrasturktur,” ujarnya.

Sejak 2015, Bidar Lukut kembali menyerlah apabila Tujunokala tampil memeriahkan sukan berkenaan.

Sehingga kini sukan tradisional ini mendapat tempat di seluruh Bahagian Mukah sehinggalah dimainkan di kawasan Oya termasuk di kawasan Miri.

Bagi penduduk yang tidak dapat menjadikan sungai sebagai litar utama, ada pihak membina kolam tiruan sepanjang 10 kaki sebagai litar utama untuk sukan ini.

Menariknya tiupan angin akan menjadi penentu utama kepada juara sukan ini diikuti rekaan bentuk bidar dan daun lukut yang digunakan sebagai layar.

Suara Sarawak