Big Data: Unimas disaran jalin kerjasama antarabangsa

KUCHING: Unimas disaran untuk bekerjasama dengan pakar antarabangsa dalam membangunkan teknologi ‘big data’.

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, kerjasama dengan pakar antarabangsa ini amat penting dalam usaha mendidik masyarakat memahami teknologi itu sepenuhnya.

“Ini kerana teknologi ini berupaya memperkasa pembangunan ekonomi termasuk bioteknologi yang menjadi kekuatan kepada proses digital.

“Bagaimanapun, perkara asas yang harus kita lakukan terlebih dahulu ialah membangunkan infrastruktur asas untuk ekonomi digital ,” katanya ketika merasmikan Persidangan Antarabangsa Teknologi Maklumat Ke-11 (Cita) anjuran Unimas di sini, semalam.

Bagi tujuan itu, kata Abang Johari, Kerajaan Sarawak telah melabur untuk membina infrastruktur asas biarpun geografi negeri ini bergunung-ganang dan berbukit-bukau.

“Ini kerana kita ingin membangunkan komuniti satelit atau cloud computing selain meluaskan rangkaian fiber optik.

“Daripada perspektif itu, Kerajaan Sarawak turut membuat pelaburan untuk mencapai gerbang antarabangsa dalam bidang IT menerusi Brunei,” jelasnya.

Ujarnya, apabila Sarawak mencapai gerbang antarabangsa dalam kabel IT maka, lebih mudah untuknya menembusi rangkaian global.

Pada majlis tersebut, turut berlangsung majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) di antara Unimas dan Lotus Farm Agritech Sdn. Bhd. serta Coresus IT Solutions Sdn. Bhd.

Hadir sama Pengerusi Lembaga Pengarah Unimas, Tan Sri Sulong Matjeraie, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Unimas, Datuk Profesor Mohd Fadzil Abdul Rahman seta Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Unimas, Profesor Dr. Wan Hashim Wan Ibrahim .

 

Suara Sarawak