Trending

Bijak berbelanja, hargai bantuan

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
E-mel

BANTUAN Prihatin Nasional (BPN) yang dikenali sebagai i-Bestari mula diperkenal pada Mei lalu sehingga Mei 2021.

Ia membantu pencarum untuk mengambil RM500 sebulan dari Akaun 2 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Ia merupakan langkah kerajaan untuk mengurangkan beban rakyat yang terkesan daripada Covid-19.

Terbaharu kerajaan melalui Belanjawan 2021 turut membenarkan pengeluaran RM500 dari Akaun 1 selama 12 bulan atau satu tahun.

Ia adalah antara inisiatif kerajaan untuk membantu rakyat, di samping beberapa bantuan lain seperti Bantuan Prihatin, penangguhan bayaran balik pinjaman atau pembiayaan moratorium selama enam bulan.

Sebelum itu ada juga syor, agar membenarkan pencarum mengeluarkan RM6,000 secara sekali gus.

Yang pasti, pengeluaran wang KWSP ini menimbulkan pelbagai pendapat dalam kalangan rakyat.

Ramai yang menyokong, tetapi ramai juga yang membantah.

Pendapat satu, membantah, atas alasan ia adalah wang untuk hari tua. Jika ia digunakan sekarang ini, berapa lagi yang akan tinggal untuk hari tua nanti?

Manakala pendapat dua, pula berkata; “ia hak pencarum… kalau bukan sekarang (keadaan terdesak) untuk menggunakannya bila lagi?

Malah ada pencarum yang menegaskan; “Itu wang kami, dan kami berhak untuk menggunakannya dalam keadaan kecemasan ini.

Siapa lagi yang boleh membantu kami, melainkan kami sendiri.” Kedua-dua pendapat ini mempunyai hujah tersendiri yang boleh diterima baik, bagi pihak yang membantah dan menyokong.

Yang pasti, kerajaan membuat keputusan dengan mengambil kira semua aspek, dan ingin membantu rakyat.

Sebagai rakyat, kita harus faham bahawa pengeluaran wang tersebut adalah untuk mereka yang benar-benar terdesak, dan benar-benar memerlukannya.

Bagi yang kurang perlu, usahlah berbuat demikian, kerana ia hanya akan menjejaskan jumlah wang tersebut pada masa akan datang.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata, keputusan tersebut adalah melalui perbincangan dengan semua pihak khususnya KWSP selepas mengambil kira keluhan dan keresahan rakyat yang terkesan.

Oleh itu, terdapat beberapa isu dan pandangan yang perlu difikirkan sebelum membuat keputusan.

Pengeluaran wang sebanyak RM12,000 (Akaun 1 dan Akaun 2) adalah jumlah yang sangat besar.

Kita sedar kesan pandemik Covid-19 amat mendalam terutama kepada mereka yang bergaji hari dan pekerja sambilan.

Malah, ia juga memberi kesan yang lebih teruk dengan hutang keliling pinggang, perbelanjaan meningkat, sumber pendapatan berkurangan, kos perubatan yang semakin tinggi dan sebagainya.

Masing-masing mempunyai masalah tersendiri dan mempunyai pilihan dalam membuat keputusan.

Adakah pengeluaran wang KWSP itu akan menyelesaikan segala masalah yang dihadapi? Atau sebaliknya?

Persoalan ini antara pekara yang perlu diambil kira supaya kita boleh membuat keputusan yang tepat atau mengurangkan kesilapan pada tahap paling minimum.

Mungkin juga pengeluaran wang KWSP ini sebagai jalan terakhir.

Namun, apabila difikirkan pengeluaran sebanyak RM1,000 sebulan belum tentu boleh menyelesaikan masalah tetapi sebenarnya jumlah itu juga mungkin boleh diusahakan sendiri oleh kita.

Sebagai pencarum kita haruslah bersikap terbuka supaya tidak memberi kesan pada masa akan datang, terutamanya ketika menginjak usia warga emas.

Keputusan pengeluaran wang simpanan ini harus dibincangkan dengan ahli keluarga, pasangan, anak atau individu yang boleh memberi pendapat yang munasabah.

Selagi ada usaha dan selagi ada jalan lain, tidak perlulah mengorbankan wang KWSP anda.

Yang pasti, sama ada anda menggunakan wang KWSP atau sebaliknya, apa yang penting ialah kita harus bijak berbelanja demi masa depan kita dan keluarga. Pada masa yang sama menghargai bantuan kerajaan.

Suka artikel:

e-Akhbar Suara Sarawak

Berita Berkaitan

E-Paper

26 November 2023

Berita Terbaru