Bila Pilihan Raya Negeri?

APABILA Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg mengadakan beberapa pertemuan tertutup di Kuching pada minggu ini, banyak pihak mula membayangkan Pilihan Raya Negeri akan berlangsung tidak lama lagi. Malah banyak penganalisis mula mendekati perkembangan ini, kerana lazimnya apabila berlakunya majlis dialog tanpa kehadiran media, bermaksud ada sesuatu yang besar akan berlangsung.

Penulis berkesempatan bertemu beberapa ahli politik dan penganalisis politik sepanjang minggu ini, dan mereka juga mengheret isu sama; bila tarikh sebenar pilihan raya? Nujum-nujum politik kini mula membuat bacaan dan tekaan bagi meramal tarikh keramat tersebut.

Pilihan Raya Waktu Terdekat?

Realitinya, banyak pihak menjangkakan pilihan raya akan berlaku dalam waktu terdekat. Atau mungkin pada tahun depan, biarpun hakikatnya, mandat pilihan raya yang lalu hanya akan berakhir pada 6 Jun 2021.

Bermakna Abang Johari mempunyai masa sehingga 20 bulan sebelum menguji mandatnya sendiri. Bila tarikh yang sesuai, beliau pasti sudah ada bayangan.

Mengenali Abang Johari, beliau bukan seorang yang ambil mudah tentang persediaan. Malah sebagai ‘orang lama’ dalam politik, beliau pasti mengambil maklum banyak perkara, menganalisis situasi semasa dan yang paling penting mengukur kekuatan partinya sendiri dan keadaan semasa pencabar.

Pada masa yang sama, beliau juga pasti mahu semua janji pilihan raya yang lalu dilunaskan. Dan tentunya beliau mahu semua projek-projek yang dirancang selama ini, sekurang-kurangnya sudah berlepas dari landasan. Mengambil kira semua perkara ini, pastinya pilihan raya tidaklah seawal yang diramal banyak pihak. Malah tidak keterlaluan jika dikatakan, paling awal pada suku kedua atau ketiga tahun hadapan. Ataupun suku pertama 2021.

Biarpun banyak pihak berkata, waktu ini adalah paling sesuai untuk Abang Johari mengadakan pilihan raya kerana keadaan pembangkang di Sarawak yang kucar-kacir, ia bukan alasan yang kukuh. GPS tidak perlu bertenggek atas kelemahan PH, terutama dari aspek janji tidak tertunai atau hak yang dinafikan.

Biarlah PH berterusan mencipta kecelaruan dalam kalangan mereka. Bagi Abang Johari dan GPS, yang paling penting adalah mengotakan janji dan memenuhi aspirasi rakyat.

Biarlah pilihan raya ini dilalui dengan rakyat berasa bangga, berpuas hati dan tidak dibohongi.

Bermula tahun ini, pelbagai projek utiliti seperti air dan bekalan elektrik telah dilaksanakan. Begitu juga dengan projek-projek telekomunikasi digital, internet dan jalan-laluan Trunk Road dan pesisir pantai. Malah tidak lama lagi, sistem pengangkutan ART akan mula dibina, setelah segala urusan teknikal dilengkapkan.

Usah ditanya tentang pengangkutan hidrogen yang kini sudah sedia untuk menjadi kenderaan massa. Dengan kata lain, tiada alasan atau isu yang boleh dimainkan pembangkang tatkala pilihan raya negeri menjelma. Dan ia akan berlaku seperti Pilihan Raya Negeri 2016 apabila pembangkang kering isu apabila Tok Nan ketika itu mengotakan semua kemahuan rakyat. Inilah pilihan raya cara Sarawak dan ia tidak bergantung kepada politik hina dan politik domba serta fitnah.

Dan kerana itu jugalah Abang Johari tidak tergesa-gesa untuk memanggil pilihan raya, kerana hakikatnya tidak ada apa yang perlu ditakutkan.

Memetik Adun Semop Abdullah Saidol, tidak ada gunanya jatuh kepada helah pembangkang yang asyik berpolitik 24 jam.

Adalah lebih afdal menumpukan kepada tugas sebagai Adun untuk meningkatkan hidup rakyat, yang setelah sekian lama ketinggalan dan ditinggalkan.

Politik Tetap Politik

Namun politik tetap politik. Jika malam ini Abang Johari bermimpi indah, mungkin esok beliau akan mengumumkan pembubaran. Ia tidak mustahil. Hakikatnya, ketika ini semua jentera parti telah siap siaga, baik GPS mahupun PH.

Beberapa indikasi sudah kelihatan, antaranya termasuk kunjungan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Datuk Azhar Azizan Harun kepada Abang Johari tidak lama dahulu.

Malah dalam belanjawan yang lalu, SPR memperuntukkan RM11.75 juta untuk melaksanakan pilihan raya negeri Sarawak.

Jadi bersiap sedialah.

Untuk rekod, dalam Pilihan Raya Negeri yang lalu, BN Sarawak kini GPS menang bergaya apabila memperoleh 72 daripada 82 kerusi yang dipertandingkan.

Suara Sarawak