Bimbang runtuhan berulang kembali

MELUGU: Kesemua penghuni rumah panjang Brayan Tala dekat Panggil Atas dinasihatkan agar tidak mendekati ruang dapur kerana bimbang runtuhan berulang kembali.
Ketua Bomba dan Penyelamat Zon Tiga Sri Aman Ramlan Marajan memberitahu, ia ekoran terdapat beberapa rekahan tanah dikesan selain laluan air dari atas bukit yang mungkin boleh mengundang pergerakan tanah yang lebih serius.
“Pihak kita dari BBP Sri Aman telah memeriksa kawasan rumah panjang dan lereng bukit, didapati masih ada rekahan tanah dan laluan air.
“Malah, pergerakan tanah turut dikesan di kawasan terbabit.
“Justeru, bomba serta agensi lain seperti polis dan pertahanan awam yang berada di lokasi menasihatkan penghuni agar tidak mendekati bahagian dapur memandangkan risiko yang mungkin berlaku,” katanya di sini, hari ini.
Jelasnya, kejadian tanah susur di belakang rumah panjang Brayan malam tadi menjejaskan dua pintu, bernombor empat dan lima.
Menurutnya, runtuhan berlaku hingga ke bahagian dinding dapur.
Tambah Ramlan, ia berpunca ekoran hujan lebat sejak petang semalam.
Semasa kejadian, seramai 13 penghuni terdiri daripada sembilan dewasa dan empat kanak-kanak berada di rumah panjang.
Difahamkan, insiden kali ini yang kedua selepas November 2019.

Suara Sarawak