Bina 600 menara telekomunikasi beri manfaat kepada penduduk

Pada 2017, Sacofa Sdn Bhd (SACOFA) berhasrat merealisasikan pembinaan 5,000 menara telekomunikasi di Sarawak dalam tempoh lima tahun sehingga 2022.

Demi memenuhi aspirasi digitaliasi Sarawak, Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg merasakan perlu bagi Sarawak mencapai 95 peratus liputan jalur lebar.

Kerajaan Sarawak memperuntukkan RM1 bilion bagi tujuan ini termasuk menghantar liputan jalur lebar yang lancar melalui prasarana fiber optik dan pengkomputeran cloud.

Pada 2017, SKMM sendiri pernah memberi jaminan menyediakan dana yang sama RM1 bilion bagi melaksanakan menara telekomunikasi di Sarawak.

Merujuk kepada cadangan awal SACOFA, Kerajaan Negeri pada 2018 bertindak segera mendirikan 600 menara telekomunikasi di seluruh Sarawak demi merealisasikan era digitalisasi ini.

Sebanyak 300 menara ini siap pada 2019. Manakala 300 lagi menara telekomunikasi siap pada 2020 dengan sebahagian besarnya memberi tumpuan kepada pembinaan di luar bandar.

Pembinaan menara telekomunikasi antara yang terkandung dalam Strategi Ekonomi Digital 2018-2020 merangkumi pembangunan digital luar bandar yang memberi penekanan kepada pembangunan infrastruktur digital.

Proses membina menara telekomunikasi di Sarawak membabitkan pelbagai prosedur termasuk perancangan rapi, kesesuaian tapak, kajian tanah, reka bentuk, penyediaan akses ke tapak, pembekalan peralatan, penyediaan tapak dan pembangunan menara.

Menyedari pengguna di Sarawak menggunakan lebih 12 gigabit data Internet sebulan, yang merupakan antara purata tertinggi di Malaysia, Kerajaan Sarawak meneruskan usaha menaik taraf kelajuan Internet di seluruh negeri dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) untuk memberi kemudahan kelajuan penggunaan 5G.

Pembinaan menara telekomunikasi sangat berkait rapat dengan pembangunan sistem maklumat yang mampu mencapai kepada seluruh rakyat melalui rangkaian Internet.

Ini termasuklah kebolehcapaian Internet ke sekolah luar bandar untuk tujuan pendidikan dan menggalakkan perkembangan ekonomi digital dan sistem maklumat itu sendiri.

Sarawak juga bakal mempunyai jaringan kabel antarabangsa yang pantas dengan pintu masuk besar (getway), iaitu di utara melalui Miri dengan kerjasama Brunei Darussalam terus ke Hong Kong, Amerika Syarikat dan Eropah.

Satu lagi jaringan di Kuching disambung dengan kabel antarabangsa, menghubungi Hong Kong, Amerika Syarikat, Eropah dan Asia.

Suara Sarawak