ARTIKEL

Datuk Lee Kim Shin melawat sekitar Kuarters Pekerja Berpusat (CLQ) bagi Kontraktor Laluan Merah Projek Sistem Pengangkutan Bandar Kuching (KUTS). Foto: ALIF NONI

Bina Kuarters Pekerja Berpusat (CLQ) bantu cekap dan cepatkan pelaksanaan projek

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Sarawak memerlukan lebih banyak Kuarters Pekerja Berpusat (CLQ) dalam pelaksanaan projek mega bagi meningkatkan produktiviti dan mempercepat pelaksanaan, sekali gus mengatasi masalah projek sakit.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Lee Kim Shin berkata, pendekatan tersebut bukan sahaja menjimat masa, malah mampu menjimatkan kos pelaksanaan projek kerana semua kemudahan diperlukan disediakan dalam satu tempat.

“Apabila semua kakitangan dari peringkat buruh sehingga pengurusan ditempatkan di satu tempat sama, ia meningkatkan produktiviti, keberkesanan komunikasi dan menjimatkan masa.

“Justeru, pendekatan membina CLQ dalam pelaksanaan Sistem Transit Aliran Automasi (ART) merupakan contoh penyelarasan dan perancangan yang cekap. Komitmen ini patut diikuti oleh pihak syarikat dan kontraktor lain dalam pembinaan projek mega di negeri ini, khususnya di kawasan bandar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Merasmikan CLQ bagi Kontraktor Laluan Merah Projek Sistem Pengangkutan Bandar Kuching (KUTS), Sarawak Metro, hari ini.

Tambahnya, CLQ yang pertama seumpamanya diwujudkan dalam pelaksanaan projek infrastruktur pengangkutan kawasan bandar itu adalah selaras dengan kajian analisis impak sosial, sebahagian daripada keseluruhan kajian Analisis Kesan Alam Sekitar, Sosial dan Warisan (ESHIA).

“Tahniah kerana berjaya membina CLQ serba lengkap dengan standard tinggi ini. Pada pandangan saya ia lebih kepada kuarters pekerja bersepadu kerana bukan sekadar kediaman kakitangan, tetapi termasuk pejabat perunding, kontraktor dan pelanggan.

“Selain mempunyai kemudahan seperti gudang, ruang makan, kantin, gelanggang bola keranjang, fasiliti rekreasi dan bangunan pejabat untuk memastikan kakitangan mempunyai persekitaran kerja yang lebih selesa serta kondusif.

“Konsep moden dan ideal seperti ini memainkan peranan penting terutama dalam memastikan pelaksanaan projek mega dan berimpak tinggi.

“Ini kerana apabila kebajikan dan kesejahteraan para pekerja terjaga, maka produktiviti pasti meningkat dan ini menyumbang kepada pembangunan Sarawak,” ujarnya.

Jelasnya, apabila produktiviti pekerja meningkat, ia sekali gus dapat memastikan pelaksanaan projek berjalan lancar dan berjaya disiapkan mengikut jadual ditetapkan, malah mungkin lebih awal.

Mengulas tentang CLQ yang mengambil masa tiga bulan untuk dibina, beliau memberitahu ia mempunyai 36 bilik untuk kakitangan pengurusan dan 53 bilik untuk pekerja, boleh menempatkan sehingga 240 orang pada satu masa.

“CLQ ini merupakan bukti komitmen kami ke arah meningkatkan kualiti hidup pekerja dalam industri pembinaan dan menjadi jalan ke hadapan bagi industri pembinaan di negeri ini.

“Saya juga berharap konsep seumpama ini boleh diguna pakai dan akan memberi inspirasi dalam pelaksanaan projek lain di seluruh Sarawak,” tambahya.

Sarawak Metro menganugerahkan syarikat usaha sama terdiri daripada Sri Datai Construction (Sarawak) Sdn Bhd, JT JV Builders Sdn Bhd dan CHEC Construction (M) Sdn Bhd dengan kontrak untuk membina infrastruktur bagi Laluan Merah dari Kuching Sentral ke Pending sejauh 12.3km.

Selain membina lorong khusus bagi Sistem Transit Aliran Automasi (ART), kontrak bernilai RM943 juta itu juga melibatkan kerja pelebaran jalan dan kerja infrastruktur lain dan pembinaan dijadualkan siap pada Disember 2026 dan setakat ini kemajuan kerja sekitar 0.06 peratus.

Sementara itu, Laluan Biru meliputi jarak 27.6km dari Rembus di Kota Samarahan ke Hikmah Exchange yang terletak di pusat bandar pula dijangka siap pada penghujung 2025, manakala Laluan Hijau (30km) dari Pending ke Damai siap penghujung 2027.

BERITA LAIN

Kepimpinan kerajaan bekerja keras majukan Sarawak

BINTULU: Para pemimpin Kerajaan Sarawak terus bekerja keras demi memajukan negeri ini. Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Seri Dr Stephen Rundi

Jambatan Bintulu-Jepak siap 82 peratus

BINTULU: Projek Jambatan Bintulu-Jepak telah mencapai 82 peratus siap dan kekal mengikut jadual untuk tarikh jangkaan siap, kata Timbalan Premier , Datuk Amar Douglas Uggah

BERITA TERBARU