Bina perumahan mampu milik di Tupong

KUCHING: Kawasan Tupong memerlukan perumahan baharu mampu milik, jelas Adun Tupong Fazzrudin Abdul Rahman.

Menurutnya, perkara itu sedang diusahakan untuk menerapkan skim perumahan baharu sama seperti yang dilaksanakan di Sungai Bedaun dan Kemuyang termasuk Sibu seperti infrastruktur jalan raya, air serta elektrik.

“Dengan adanya rumah seperti ini, saya berharap semua orang dapat membelinya dengan harga yang rendah dan mendapatkan pinjaman melalui Mutiara Mortage and Credit Sdn Bhd, anak syarikat Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC).

“Ini akan memberi peluang kepada mereka yang ingin membeli kediaman sendiri kerana di bandar, tidak ada lagi tanah untuk membina rumah baharu,” katanya dalam temu ramah dengan Unit Komunikasi Awam Sarawak (Ukas) baru-baru ini.

Tambahnya, bagi pengurusan jalan raya di kawasan Tupong, kerja naik taraf sedang dilakukan melibatkan jalan dari Malihah hingga Court Mammoth di Matang.

“Jalan itu akan digunakan setiap hari oleh masyarakat dan apabila ia dinaik taraf, sekurang-kurangnya dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas ketika mereka keluar bekerja,” ujarnya.

Timbalan Ketua Pemuda Parti PBB itu juga menjelaskan, apabila lalu lintas kurang sesak ia akan menimbulkan kebimbangan di kawasan bulatan Emart Matang kerana mungkin berlaku kesesakan.

“Saya juga berusaha memastikan kita dapat membina jalan bawah tanah seperti yang dibina di Petra Jaya.

“Ia untuk memastikan kelancaran perjalanan penduduk di kawasan berkenaan untuk keluar dan balik kerja,” tegasnya.

Suara Sarawak