Bina platform JobsSarawak

KUCHING: Kerajaan Sarawak perlu membina platform JobsSarawak, sama seperti JobsMalaysia bagi membuka peluang kepada rakyat Sarawak untuk mendapatkan pekerjaan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tupong Fazzrudin Abdul Rahman berkata melalui JobsSarawak, peluang pekerjaan akan dapat ditumpukan untuk diisi orang Sarawak.

“Ini juga akan membantu memastikan syarikat yang beroperasi di Sarawak untuk mengiklankan kekosongan mereka di JobsSarawak sebelum membukanya kepada orang bukan Sarawak atau bukan rakyat Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Bajet Sarawak 2021 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.

Selain itu, Fazzrudin berkata pelan jangka pendek dan panjang harus direncanakan selain dari bantuan-bantuan kebajikan kepada golongan yang hilang pekerjaan akibat Covid-19.

Katanya program seperti Latihan Peningkatan Graduan Sarawak (GETS) boleh dilebar luaskan lagi dan diperincikan di mana pekerja-pekerja siswazah yang hilang pekerjaan boleh ditempatkan dengan syarikat-syarikat swasta yang berpotensi untuk berdaya saing.

Pada masa sama, Fazzrudin berkata satu sistem yang lebih kukuh perlu ditawarkan bagi mengenalpasti golongan siswazah atau pekerja mahir yang hilang pekerjaan.

Beliau menambah kerajaan juga harus memperkenalkan kursus yang dapat melahirkan tenaga kerja yang diperlukan industri.

Suara Sarawak