Bina satu lagi talian di Spaoh

KUCHING: Sarawak Energy Berhad (SEB) membina satu lagi talian atas menyambung Spaoh melalui 11KV Debak dan Tanu. Kementerian Utiliti menerusi satu kenyataan berkata, langkah itu diambil ekoran kekerapan gangguan elektrik di Spaoh serta sekitarnya termasuk Debak dan Pusa.

“Sumber bekalan elektrik ke Spaoh telah dipindahkan ke talian baharu untuk meningkatkan tahap reliabilitinya pada 16 Februari lalu.

“Bagaimanapun, awal Mei, terdapat keperluan kerja-kerja penyelenggaraan di stesen pencawang Tanu,” kata kenyataan berkenaan semalam.

Kenyataan itu dikeluarkan selepas Suara Sarawak melaporkan isu gangguan bekalan elektrik di Spaoh dan sekitarnya pada 21 Mei lalu.

Tambah kenyataan itu, bagi membolehkan kerja-kerja penyelenggaraan dilaksanakan, sumber bekalan elektrik terpaksa dipindahkan ke pencawang Engkilili buat sementara waktu.

Talian elektrik Spaoh akan dibekalkan semula dari stesen pencawang Tanu yang siap diselenggara selepas musim perayaan pada l Jun nanti.

“Sebagai langkah penyelesaian jangka panjang, SEB sedang membina pencawang Serudit 275KV yang dijangka siap dan beroperasi pada suku kedua tahun 2020,” jelas kenyataan itu.

Kenyataan turut menyebut, apabila projek tersebut siap nanti, sumber bekalan elektrik ke Spaoh dan sekitarnya akan dibekal terus dari pencawang Serudit 275KV.

Dengan itu, talian atas ke Spaoh akan dikurangkan sehingga sekitar 10 kilometer dan reliabiliti bekalan elektrik sistem 33KV di kawasan-Betong, Spaoh dan Pusa dapat ditingkatkan ke tahap lebih tinggi.

“Kementerian Utiliti mengambil maklum isu terbabit apabila sumber bekalan elektrik ke Spaoh adalah dari pencawang Engkilili melalui talian atas 33KV sepanjang 60 km dan sambungan simpang-T talian atas 11KV sepanjang 15km.

“Bekalan elektrik ke Debak dan Pusa juga melalui talian atas 33KV yang sama dengan melebihi 100km,” kata kenyataan itu.

Katanya, talian yang panjang terdedah kepada risiko akibat cuaca buruk, pokok tumbang, gangguan haiwan seperti ular dan monyet serta pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo.

Malah, kerja-kerja penyelenggaraan di sepanjang atas talian berkenaan turut menyumbang kepada gangguan bekalan elektrik.

Kenyataan itu turut berkata, memandangkan Spaoh, Debak dan Pusa terletak di penghujung talian atas 33kV ini, maka gangguan atas talian akan menyebabkan gangguan bekalan elektrik di ketiga-tiga pekan tersebut.