ARTIKEL

Bintang bola sepak jadi sasaran

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

BINTANG Harimau Malaya, Faisal Halim, 26, sepatutnya mengemudi Selangor FC di Stadium Sultan Ibrahim malam esok, menentang skuad bangsawan, Johor Darul Ta’azim (JDT) untuk merebut Piala Sumbangsih, sekali gus menandakan bermulanya Liga Malaysia 2024.

Beliau ialah antara pemain yang berpotensi untuk mengejutkan JDT yang semakin mantap musim ini.

Namun ia tidak akan berlaku.

Arena bola sepak negara gempar Ahad lalu apabila Faisal melecur tahap empat akibat disimbah asid, oleh dua individu bermotosikal di sebuah pusat belibelah di Petaling Jaya.

Ia berlaku dua hari selepas seorang lagi bintang Malaysia, Akhyar Rashid disamun dan dipukul pada malam Khamis.

Malam kelmarin pula cermin kereta bintang JDT Safiq Rahim dipecahkan dengan tukul besi oleh dua perompak bermotosikal.

Beliau juga antara pemain berprofil tinggi yang juga bekas kapten Harimau Malaya.

Ketiga-tiga insiden tersebut berlaku ketika Liga Malaysia 2024 hampir bermula (malam esok).

Namun menurut Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain ia tiada kaitan dengan bookie, yang pernah menghancurkan karier beberapa bintang ternama pada awal era 90-an.

Malah bola sepak negara ketika itu terpalit teruk apabila 78 pemain terbabit skandal rasuah.

Yang pasti punca kejadian yang sangat tidak berperi kemanusiaan terhadap Faisal Halim Ahad lalu itu masih dalam siasatan rapi.

Ia mendapat kecaman hebat pelbagai pihak. Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menegaskan; “Kita benar-benar kesal melihat tragedi ini dan tidak sepatutnya berlaku terhadap atlet kita atau manamana manusia.

Sebab itu, kita nak pastikan pihak polis mengambil tindakan paling tegas terhadap suspek untuk pastikan motif ini dikenal pasti”.

Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin pula berkata; Faisal menangis ketika beliau datang menemuinya di hospital.

Menurutnya, pemain Selangor FC itu tertanya-tanya apa kesalahannya sehingga dia diperlakukan sebegitu rupa.

“Saya orang pertama yang berjumpa dengan Faisal dan isterinya di bahagian kecemasan.

Saya sempat berborak dengannya.

Dia cakap ‘Apa salah saya Datuk. Kenapa saya kena macam ni.’ Dia menangis dalam keadaan kesakitan,” ujar Hamidin.

Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim (TMJ) yang juga pemilik JDT menjelaskan; “Saya mengecam kejadian yang melibatkan pemain bola sepak, Faisal Halim dan Akhyar Rashid susulan keselamatan serta kesejahteraan mereka diganggu oleh individu-individu tidak bertanggungjawab”.

Manakala Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah menegaskan; “Kejadian itu amat menyedihkan kerana melibatkan atlet sukan.

Ia adalah tindakan sangat keji menyimbah asid kepada seseorang, terutama atlet yang mewakili negara.

Saya berharap pihak berkuasa akan mencari punca kenapa kes sebegitu boleh berlaku sehingga ke akar umbi.”

Bagaimana insiden ini boleh berlaku.

Ada teori boleh diambil kira, wujudnya pemilik akaun media sosial yang membuat serangan peribadi sehingga membangkitkan kebencian terhadap pemain pasukan Malaysia. Isi kandungan turut menghina dan memperlekeh pemain.

Yang pasti, insiden seumpama ini tidak pernah berlaku dalam bola sepak negara sebelum ini, menyebabkan kebanyakan pemain berprofil tinggi tidak terlintas untuk mengupah pengawal peribadi, ketika pergi ke mana-mana lokasi atau destinasi.

Ia bukan bermakna mereka mengambil remeh akan keselamatan masing-masing.

Oleh itu, saranan bos besar FAM, Hamidin Amin adalah wajar bagi seseorang pemain berprofil tinggi untuk mempunyai pengawal peribadi ketika keluar rumah, atau menuju ke destinasi tertentu.

Namun ia juga mengambil kira kemampuan seseorang pemain kerana ia memerlukan kos yang agak tinggi.

Harus diingat pemain terkenal merupakan selebriti, sama seperti artis, pelakon atau penyanyi popular yang mempunyai nama besar di persada tanah air mahupun di luar negara.

Jadi mereka ini sentiasa menjadi tumpuan, dan mempunyai ramai peminat dan pada masa yang sama, ada pembenci.

Mereka terdedah dengan sasaran dan ancaman yang tidak dijangka. Lihat sahaja apa yang menimpa atlet sukan luar negara.

Pada awal April lalu, bintang pertahanan kelab terkenal Afrika Selatan, Johannesburg, Kaizer Chiefs. Luke Fleurs, 24, ditembak mati ketika mengisi minyak di bandar Johannesburg.

Menurut pihak berkuasa, sebaik Fleurs melangkah keluar dari kenderaan Volkswagen Golf 8 GTI miliknya, dua lelaki mengacukan senjata dan menembaknya sebelum melarikan diri, dengan memandu kenderaan milik mangsa.

Pegawai penyiasat mendakwa suspek ialah sebahagian daripada sindiket jenayah yang bertanggungjawab merompak kereta orang awam di wilayah Gauteng, Johannesburg.

Pada 26 September 2014, kurang 24 jam selepas membantu Orlando Pirates menumpaskan pasukan Ajax Cap Town, Senzo Meyiwa ditembak mati.

Laporan mengatakan Meyiwa cuba mempertahankan teman wanitanya dalam satu rompakan di kediamannya.

Meyiwa dikejarkan ke hospital, namun disahkan meninggal dunia sebaik sahaja tiba di pintu masuk wad kecemasan.

Penjaga gol itu berada pada kemuncak prestasi untuk kelab dan negaranya sebelum kejadian tersebut. Meyiwa membantu Orlando Pirates merangkul African Champions League.

Yang pasti, pembunuhan terhadap bintang bola sepak Colombia, Andres Escobar pada 1994 cukup tragis. Beliau menemui ajal dengan enam das tembakan di luar kelab malam di Colombia.

Ia gara-gara selepas mangsa terjaring ke gawang sendiri pada aksi peringkat Kumpulan Piala Dunia 1994 di Amerika Syarikat.

Ketika itu, Colombia menjadi sebutan untuk muncul juara, tetapi malangnya tersingkir awal, tewas 2-1 kepada Amerika.

Kongsi gelap yang terlibat dengan agensi pertaruhan dan tewas sanggup berbuat apa-apa sahaja, termasuk membunuh.

Sejak 1923 hingga 2014 lima bintang bola sepak ternama di seluruh dunia, mati ditembak.

Hakikatnya arena bola sepak kita, malah bola sepak Asia tidak sekejam itu, namun pemain bintang kita harus berhati-hati, dan mengambil langkah berjagajaga bagi mengelak sebarang kemungkinan yang tidak dijangka.

Sebagai platform penyatuan masyarakat setempat mahupun masyarakat sejagat, bintangbintang sukan kita harus disanjungi dan dihargai, lebihlebih lagi mereka yang memberi sumbangan besar terhadap negeri dan negara.

Mereka ini adalah ikon dan inspirasi, generasi baharu yang berminat dalam bidang ini, untuk terus melangkah ke hadapan, demi negara.

Sebagai sebuah negara aman dan harmoni, janganlah ‘meracuninya’ dengan tindakan yang jauh daripada kewarasan, dan menjadikan mereka yang berjasa kepada negara sebagai mangsa. 

BERITA LAIN

Kita saling mengingati

PADA minggu depan minggu terakhir 20 pelatih universiti akan menamatkan latihan industri di organisasi kami. Sesungguhnya kami berbangga kerana menjadi pilihan universiti meletakkan pelajar mereka

Affandi Tahir, rakam sejarah melalui pita

BELIAU bukan seorang penyanyi. Beliau juga bukan seorang pelakon. Tetapi namanya cukup popular suatu ketika dahulu. Bukan hanya kerana ketampanannya, tetapi kerana beliau penyiar radio

Telus, sahih dan tepat

SEBELUM ada komputer dan telefon bimbit canggih seperti hari ini, wartawan bergantung kepada komputer di pejabat untuk menulis berita. Dan biasanya wartawan hanya akan berada

Ketagih subsidi

ISU berkaitan subsidi kembali hangat diperkatakan. Adakah pemberian subsidi sesuatu yang harus terus diamalkan ketika beban hutang negara semakin membengkak? Bagaimanakah reaksi rakyat apabila subsidi

Tragedi dunia maya Si Kucing Gendut

FAT Cat, 21, atau nama sebenarnya Liu Jie, selebriti dunia gamer – permainan popular Honour of Kings – namanya tiba-tiba melonjak di dunia maya khususnya

Zaman makin canggih, adab makin mundur

KETIKA masih kanak-kanak atau zaman sekolah sekitar tahun 90-an atau awal 2000, kita amat menghormati orang lebih tua terutama ibu bapa. Ini kerana kebanyakan kita

BERITA TERBARU

Generasi masa hadapan harus dilibatkan dengan STEM

KUCHING: Generasi masa hadapan harus dilibatkan dengan bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) pada usia muda. Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Seri