Bintang cemerlang

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
E-mel

BAGI sebahagian besar peminat muzik dan penyanyi Indonesia, mereka mungkin lebih kenal akan penyanyi seperti Rossa, Rizky Febian, Pamungkas, Tiara Andini, Melly Goeslaw dan lain-lain.

Namun, satu nama yang pantas melejit ke papan atas ialah anak gadis yang baru berusia 17 tahun.

Putri Ariani pantas menangkap imaginasi dan minat bukan sahaja di Indonesia, tetapi di rantau ini dan di Amerika Syarikat.

Saya mulai kenal akan nama gadis cacat penglihatan itu beberapa bulan lalu selepas menerima sebuah klip video penyertaan penyanyi hebat itu dalam program America’s Got Talent di WhatsApp.

Untuk persembahan itu, gadis berasal dari Riau itu meraih Golden Buzzer daripada juri, Simon Cowell.

Mulai saat itu, seperti kebanyakan mereka yang mendengar suara merdu penyanyi itu, saya terus terpikat, malah terpesona dengan keindahan dan kemerduan suara dan persembahannya.

Finalis America’s Got Talent itu kembali memukau juri menerusi lagu I Still Haven’t Found What I’m Looking For yang disampaikannya pada peringkat separuh akhir, Selasa minggu lalu.

Persembahan mantap Putri mendapat standing ovation daripada empat juri, Simon Cowell, Sofia Vergara, Heidi Klum dan Howie Mandel serta penonton yang hadir menyaksikan acara di Pasadena Civic Auditorium, California, Amerika Syarikat.

Sama seperti ketika membuat persembahan saringan, Putri yang mengalami kecacatan penglihatan tampil menyanyikan lagu yang pernah dipopularkan band dari Ireland, U2, sambil memetik piano.

“Saya seakan kehilangan kata-kata. Anda mempunyai vokal sangat indah, versi merdu.

Jujurnya, momen seperti inilah punca mengapa saya masih melakukan pekerjaan ini.

“Untuk saat seperti ini, hakikatnya ia sangat indah,” ungkap Cowell. Bukan mudah untuk juri berkenaan memberi katakata pujian sedemikian.

Putri Ariani tentu bertuah, dan pasti pujian berkenaan akan terus memberi dorongan kepadanya untuk mara lebih jauh.

Hakikatnya, nama beliau mulai mendapat tempat di hati rakyat Indonesia sejak mengikuti pertandingan Indonesia’s Got Talent 2014 anjuran sebuah stesen TV swasta di negara 276 juta jiwa itu, malah beliau berhasil menang pertandingan berkenaan.

Melalui lagu My Heart Will Go On lantunan Celine Deon itu, Putri berjaya memperoleh pungutan SMS tertinggi, dan muncul juara.

Sebagai juara, beliau membawa pulang 500 juta rupiah (RM150,000).

Mulai saat itu, beliau tidak lagi menoleh ke belakang.

Segalanya sudah menjadi sejarah, dan Putri Ariani terus meniti dari satu anak tangga ke satu anak tangga dengan penuh yakin.

Albumnya Melihat Dengan Hati juga segera mendapat perhatian peminat muzik di Indonesia.

Dalam video sesi Real Talk bersama IDN Media yang dimuatkan di Instagram peribadi Putri pada 9 Mac 2020, dia mengaku bahawa dirinya lahir pada saat usia kandungan ibunya 6 bulan 18 hari.

Berdasarkan cerita itu, diketahui bahawa Putri lahir secara pramatang.

Kejadian itu terjadi kerana ibunya mengalami plasenta previa yang merupakan keadaan saat ari-ari atau plasenta berada di bahagian bawah rahim sehingga menutupi sebahagian atau seluruh jalan lahir.

Sesudah lahir, anak pertama daripada tiga adik-beradik itu perlu berada di dalam inkubator bayi selama tiga bulan di hospital.

Dia diisytiharkan buta sepenuhnya ketika berusia tiga bulan.

Hebatnya, Putri mulai muncul di pentas ketika hanya berusia tujuh tahun dan sudah berjaya mencuri perhatian penonton dengan suara emasnya.

Putri mendapat penghargaan Anugerah Baiduri sebagai penyanyi cilik berprestasi tahap nasional pada 2016.

Dia juga pernah menjadi finalis The Voice Kids Season 2 pada 2017. Malah pada 2018, dia mendapat peluang mendendangkan lagu rasmi Sukan Para Asia 2018 berjudul Song of Victory.

Keistimewaan Putri Ariani bukan hanya terletak pada keupayaan vokalnya yang luar biasa, tetapi juga bakatnya dalam menggubah lagu dan bermain piano.

Mereka yang pernah menyaksikan persembahannya, tentu akur dengan bakat luar biasa puteri Indonesia yang sudah mulai menyanyi sejak berusia dua tahun itu.

Ketika Indonesia meraikan kemerdekaan ke-78 di Istana Merdeka, Jakarta pada 17 Ogos lalu, Putri turut diundang untuk mempersembahkan nyanyiannya di hadapan tetamu kenamaan, termasuk Presiden Jokowi.

Putri mendendangkan lagu Melati Suci karya Guruh Sukarno Putra dan lagu Rungkad karya Vicky Prasetyo.

Melalui video yang beredar dan sempat saya saksikan, tetamu begitu terpesona, malah ikut serta menari secara spontan.

Ternyata, latihan, bakat, keyakinan diri tanpa dihalang dan dilemahkan oleh keterbatasan dirinya, menyebabkan Putri Ariani pergi jauh.

Putri bukan tidak berdepan cabaran atau ujian.

Sebagai anak yang kekurangan dari segi fizikal, dia juga diejek dan dipandang rendah oleh rakan-rakannya sehingga menyebabkan ada waktunya dia kemurungan dan hilang semangat.

Tetapi kini pasti kejayaannya dalam bidang muzik berupaya menyingkirkan perasaan rendah diri dan kemurungan yang pernah dialaminya.

Putri mendapat dukungan yang kuat daripada ibu bapanya, malah merekalah yang memainkan peranan penting sehingga dia sampai ke papan atas.

Kejayaan Putri Ariani memberi pengajaran dan mesej jelas kepada sesiapa yang memiliki anak OKU supaya tidak berasa malu.

Mereka perlu mendapat semangat, ilham dan rangsangan daripada Putri Ariani yang kini sedang mencipta nama dan mengharumkan nama Indonesia.

Sesungguhnya, sesiapa pun dapat menggapai bintang termasuk mereka yang kekurangan dari segi fizikal, asalkan ada kesungguhan dan keyakinan diri untuk berjaya.

Putri Ariani dapat jadi suri teladan sebagai bintang cemerlang di langit muzik.

Putri akan menakluk dunia jika menang dalam pertandingan di Amerika Syarikat itu.

• Dato Dr Jeniri Amir ialah penganalisis politik dan Felow Kanan Majlis Profesor Negara.

Suka artikel:

e-Akhbar Suara Sarawak

Berkaitan

Kembara luar biasa

BUKAN selalu Yang di-Pertuan Agong melakukan kembara dan perjalanan lebih

Langkah sumbang

KITA masih berada dalam Bulan Kemerdekaan. Bulan Kemerdekaan dan Hari

Lain-lain

Si duri tajam

DURIAN bukan sekadar pemegang takhta raja buah, tetapi juga raja